Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dasar cukai: Guan Eng sedia jadi saksi jika tindakan mahkamah diambil

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bersedia memberi keterangan jika ada pembayar cukai mengheret kerajaan ke mahkamah atas dakwaan menarik balik program pendedahan sukarela khas (SVDP) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Saya tidak faham mengapa mereka (kerajaan) buat pusingan U.

"Mungkin mereka kehabisan wang. Saya fikir ada seseorang yang akan mencabarnya di mahkamah dan mereka mungkin menang kes ini. Saya juga sedia jadi saksi mereka," katanya.

Di bawah SVDP yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, pembayar cukai yang mengisytiharkan pendapatan dan pemotongan cukai mereka yang tidak dilaporkan sebelumnya dikenakan kadar penalti yang  lebih rendah antara 10 dan 15 peratus, berbanding maksimum 300 peratus seperti yang ditetapkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Lim mengulas laporan berita Sin Chew Daily dengan memetik Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) yang menerima aduan mengenai dasar berkenaan yang telah ditarik balik.

"Kami masih ingat bagaimana pasukan penguat kuasa LHDN pada era BN mengejar pembayar cukai, sambil ditemani SPRM dan pegawai polis dengan senjata M16 dan memakai topeng. Mereka akan menyerbu pejabat anda seolah-olah anda seorang pengganas.

"Itu benar-benar menakutkan," kata bekas menteri itu, sambil menambah PH menamatkan amalan sebegitu setelah mengambil alih kerajaan.

Walaupun pihak tertentu mengkritik SVDP mengurangkan jumlah pendapatan kerajaan, Lim berkata LHDN mungkin tidak dapat mengumpulkan amaun yang sama dalam jumlah penalti menerusi proses siasatan mereka.

"Ada yang mendakwa program seperti itu menguntungkan pembayar cukai, tapi sekurang-kurangnya mereka bayar. Kita tidak perlu membuang masa untuk siasat.

"Sekurang-kurangnya mereka tahu mereka telah mematuhi undang-undang dan akan berasa tenang," tambahnya.

Pada masa itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP, berkata LHDN akan mengeluarkan surat kebenaran yang menyatakan bahawa tidak ada audit atau siasatan lanjut akan dilakukan terhadap pendapatan mereka.

"Sekiranya ada pegawai yang datang kepada mereka, mereka hanya perlu menunjukkan surat itu untuk membuktikan bahawa semuanya telah diselesaikan dan dapat memulakan permulaan baru.

"Ini adalah penyelesaian menang-menang oleh kerajaan PH, di mana kerajaan boleh memungut cukai sementara pembayar cukai dapat memenuhi kewajiban mereka tanpa menghadapi masalah," tambahnya.

Menurut Lim, garis panduan tersebut menyatakan bahawa surat kebenaran itu dikeluarkan dengan "suci hati", yang bermaksud pernyataan secara sukarela tidak boleh dianggap sebagai menghalalkan kegiatan jenayah.

"Sebagai contoh, jika seseorang adalah penjenayah atau korup seperti (ahli perniagaan) Jho Low, walaupun dia mengambil bahagian dalam program SVDP dan membayar cukai, wang yang dirompaknya tidak akan menjadi sah kerana sumber pendapatannya tidak sah.

"Sekiranya anda menjalankan perniagaan haram seperti kasino bawah tanah, pelacuran atau perdagangan dadah, semua ini tidak akan disahkan dengan membayar cukai," tambahnya.