Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peguam: Pertuduhan pecah amanah ke-6 terhadap Zahid tak berasas

KES ZAHID | Pertuduhan pecah amanah keenam terhadap Ahmad Zahid Hamidi membabitkan wang Yayasan Akalbudi berjumlah hampir RM18 juta adalah tidak berasas, menurut pasukan pembelaan bekas timbalan perdana menteri itu.

Peguam bela Hisyam Teh Poh Teik berkata demikian kepada saksi pendakwaan ke-93, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Fazli Zulkifli, ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hisyam berkata, meskipun wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank milik Yayasan Akalbudi ke akaun Tetuan Lewis & Co, wang itu masih dimiliki oleh yayasan tersebut.

Malah dia berkata pihak pendakwaan ada niat jahat apabila mengemukakan pertuduhan berkenaan ke atas Ahmad Zahid.

Hisyam: Daripada apa yang telah Encik Fazli telah pastikan tadi, setuju kalau saya katakan, langsung tidak ada asas berkenaan pertuduhan keenam yang telah dikemukakan. Setuju atau tidak?

Fazli: Tak setuju

Hisyam: Saya tanya sekali lagi, sebab apabila wang telah sampai ke (akaun) Lewis & Co, pemilik wang adalah sama, Yayasan Akalbudi, oleh sebab itu, tak boleh dikatakan Datuk Seri (Zahid) telah melakukan pecah amanah. Setuju atau tidak?

Fazli: Setuju.

Hisyam: Dengan hormat, saya katakan, apabila pendakwaan mengemukakan pertuduhan tersebut, pihak pendakwaan mempunyai niat jahat?

Fazli: Saya tak setuju.

Fazli merupakan pegawai yang bertanggungjawb menyiasat penglibatan Ahmad Zahid dalam pengubahan wang haram berkaitan pembelian sijil simpanan tetap dan saham Syarikat Ri-Yaz Assets Sdn Bhd (Ri-Yaz Assets) berjumlah RM17,953,185.21.

Pada Jumaat lalu, Fazli memberitahu mahkamah berkenaan urusan jual beli saham antara anak Ahmad Zahid, Nurulhidayah dengan bekas pengarah Ri-Yaz Assets, Abdul Rashid Abdul Manaf, serta aliran wang tunai antara Yayasan Akalbudi, Tetuan Lewis & Co, Ri-Yaz Assets dan Exim Bank serta pertukaran ke simpanan tetap.

Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, namun ia dinafikan oleh kedua-dua rakan kongsi Lewis & Co yang hadir sebagai saksi Ogos tahun lalu.

Menurut Fazli, sebanyak hampir RM18 juta dikeluarkan daripada akaun Yayasan Akalbudi ke akaun Lewis & Co, dengan lebih RM8 juta diberikan kepada Ri-Yaz Assets untuk urusan jual beli saham antara Rashid dan Nurulhidayah.

Ahmad Zahid adalah pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi.

Dia berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

Dalam pertuduhan pecah amanah keenam pula, dia dituduh melakukan pecah amanah kepada wang milik Yayasan Akalbudi berjumlah RM17,953,185.21 dengan curangnya telah melakukan kiriman wang kepada Lewis & Co, pada Jun 2016.

Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Fazli diminta menjelaskan jawapannya berkenaan “pemilik wang” di dalam akaun pelanggan Lewis & Co, dan apakah pengeluaran wang daripada Yayasan Akalbdui dilakukan telah mengikut jalan yang sepatutnya.

“Pengeluaran ini, berdasarkan siasatan saya, adalah pecah (amanah) jenayah wang milik Yayasan Akalbudi RM17.9 juta yang mana ia dikeluarkan tanpa persetujuan ahli lembaga pemegang amanah yang lain, dan dipindahkan ke akaun pelanggan Lewis & Co,” jawab Fazli.

Fazli juga berkata, daripada siasatannya, Lewis & Co menerima arahan daripada Ahmad Zahid secara lisan berkenaan wang Yayasan Akalbudi di akaun pelanggannya, dan tidak pernah menerima apa-apa arahan daripada mana-mana ahli lembaga pengarah yayasan yang lain berkenaan wang berkenaan.

Daripada siasatannya juga, dia mendapati wang Yayasan Akalbudi di dalam akaun Lewis & Co ditempatkan sebagai simpanan tetap oleh firma itu atas arahan Ahmad Zahid, dengan tujuan untuk mengembangkan lagi wang berkenaan.

Pernyataan amaran Zahid bercanggah saksi lain

Fazli juga ada disoal Hisyam semasa pemeriksaan balas tentang kenyataan amaran oleh Ahmad Zahid yang tidak dimasukkan Fazli ke dalam pernyataan bertulisnya.

Kata Hisyam, Ahmad Zahid telah memberikan penjelasan mengenai pembelian sahaM Ri-Yaz Assets, di mana Rashidlah sebenarnya yang menawarkan peluang pelaburan kepada Ahmad Zahid menerusi Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid, kata Hisyam, mencadangkan Nurulhidayah dilantik menjadi pengarah memandangkan jumlah pelaburan wang yayasan yang besar.

Semasa pemeriksaan semula oleh Sazilee, Fazli menjelaskan bahawa hasil siasatannya dengan saksi-saksi lain, dia mendapati kenyataan beramaran Ahmad Zahid berbeza dengan keterangan saksi lain.

Antaranya, Nurulhidayah yang sebenarnya yang berminat membuat pelaburan dalam Ri-Yaz Assets, bukannya Yayasan Akalbudi, sedangkan bayaran dibuat oleh yayasan.

Fazli menjelaskan, tiada dokumen yang menunjukkan bahawa pelaburan itu adalah antara Yayasan Akalbudi dengan Ri-Yaz Assets, sebaliknya ia melibatkan dua pihak sahaja - Rashid dan Nurul.

Dia juga mengesahkan tidak menemukan apa-apa dokumen yang menyatakan pelantikan Nurulhidayah sebagai pemantau, proksi atau wakil Yayasan Akalbudi di dalam Ri-Yaz Assets.

“Saya tidak masukkan kenyataan OKT (Ahmad Zahid) kerana ini adalah untuk mempertahankan diri sahaja. Yang Arif, saya masukkan berdasarkan hasil siasatan SPRM sendiri dalam pernyataan bertulis saya,” katanya.

Perincian aliran wang

Jumaat lalu, Fazli menyediakan carta alir bagaimana RM17.9 juta wang dikeluarkan daripada akaun Yayasan Akalbudi ke akaun pelanggan Lewis & Co pada 23 Jun 2016, mengikut arahan Ahmad Zahid.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM8,602,920 dikeluarkan daripada akaun bank Lewis & Co dan dibayar kepada Ri-Yaz Assets dalam bentuk cek, bagi tujuan pembayaran deposit pembelian saham 60 peratus milik Rashid oleh Nurulhidayah.

Baki RM9,350,265.21 (yang tinggal daripada RM17.9 juta) dalam akaun bank Lewis & Co pula, diarahkan Ahmad Zahid untuk didepositkan ke akaun simpanan tetap pada Julai 2016.

Bagaimanapun, ekoran perbezaan tukaran wang ringgit Malaysia kepada dolar Amerika Syarikat ketika itu, maka Ri-Yaz Assets hanya membayar RM8,348,040.90 (nilai AS$2.058 juta ketika bayaran dibuat) kepada Exim Bank, manakala baki berjumlah RM254,879.10 dipulangkan kembali kepada Lewis & Co melalui cek bertarikh 15 Julai 2016.

Tambahnya, wang RM254,879.10 yang dipulangkan kepada Lewis & Co itu, bersama dengan 24 cek daripada syarikat dan individu lain, akhirnya digunakan untuk membeli simpanan tetap bernilai lebih RM5.46 juta pada Julai 2016.

Sementara itu, wang RM8,348,040.90 yang dikembalikan kemudiannya kepada Lewis & Co, turut didepositkan sebagai simpanan tetap pada Mei 2017.

Oleh hal yang demikian, kesemua wang RM17.9 juta itu telah ditukarkan kepada simpanan tetap.

Perbicaraan yang masuk hari ke-48, berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu, bersambung petang ini.