Kadar kemajuan projek ECRL capai 20.83 peratus
Kadar kemajuan keseluruhan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap 2026 telah mencapai 20.83 peratus setakat ini, kata Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata angka itu menunjukkan kemajuan projek itu satu peratus lebih awal daripada jadual asal.
"Projek ini masih ada tempoh panjang dan ada beberapa isu belum selesai antaranya isu pengambilan tanah dan pembersihan tapak. Setakat ini kemajuan ECRL sudah mencapai 20.83 peratus.
"Kemajuannya cukup baik, namun (ada) isu paling kritikal antaranya perlukan kelulusan daripada kerajaan negeri berhubung tiga seksyen A (Kota Bharu ke Dungun) B (Dungun ke Temerloh) dan C (Temerloh ke Port Klang), kita masih menunggu kelulusan kerajaan Selangor.
"Sekiranya capai kelulusan maka keseluruhan projek ECRL akan dapat dilaksanakan (dengan segera) dan untuk memastikan tidak lari daripada penjadualan kita," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Mohd Zuki yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata bagi penyertaan kontraktor tempatan dalam projek berkenaan setakat ini, jumlahnya mencecah 12 peratus daripada 40 peratus sasaran yang ditetapkan pihaknya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai