Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tangguh sidang parlimen: Ini lucu tahap tinggi, kata Azan

Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang menyatakan pendirian kerajaan mengenai sidang parlimen.

Kata Azan dia berasa hairan dengan alasan diberikan setiausaha agung PAS itu bagi memberi justifikasi kerajaan mengapa parlimen masih tidak sesuai bersidang.

“Dari segala sudut ia tidak masuk akal. Vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada anggota parlimen menerusi fasa pertama (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) jadi mengapa timbul isu golongan berisiko pula?” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, Takiyuddin memberitahu kerajaan tidak akan mengadakan sidang parlimen - seperti didesak pelbagai pihak termasuk parti dalam kerajaan - berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan Covid-19 dalam bangunan parlimen.

Ahli parlimen Kota Bharu itu juga berkata keadaan majoriti ahli parlimen yang merupakan warga emas juga meletakkan mereka sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19. 

Menurut Azan penangguhan persidangan parlimen itu jelas memaparkan kegusaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung sokongan sebenar yang mereka terima ketika ini.

“Saya rasa ini berhubung isu sokongan semata-mata dan itu menambah jelas keadaan kerajaan mengelak sebarang kejadian yang tidak mereka ingini,” kata Azan.

Untuk rekod, semasa persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai tahun lalu kerajaan merangka beberapa prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk ahli parlimen.

Zoo boleh, parlimen tidak

Antaranya mengawal pergerakan dan had ahli parlimen dalam persidangan, petugas dan kakitangan parlimen serta petugas media. Malah, tempat duduk ahli parlimen dalam Dewan Rakyat juga dijarakkan serta mempunyai penghadang.

Kerajaan kemudian mengisytiharkan darurat pada Jan lalu atas alasan mengekang penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan penggantungan parlimen.

Namun selepas pelbagai pihak membuat gesaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam kenyataan pada 12 Jan menzahirkan pandangan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Kata Azan tindakan kerajaan PN sekarang menampakkan mereka tidak mengutamakan hal penting semasa membuat keputusan berhubung pembukaan sesuatu sektor.

Hal itu katanya dapat dilihat apabila kerajaan memberi kebenaran operasi kepada Zoo Negara namun sebaliknya kekal menangguhkan persidangan parlimen.

“Adakah zoo lebih penting daripada parlimen sedangkan dalam Dewan Rakyat itulah tempat untuk kita membincangkan isu rakyat.

“Tetapi (parlimen) tidak dibuka, zoo pula dibuka. Ini memang kelucuan tahap tinggi.

“Fokus kerajaan dalam pembukaan setiap sektor ini tidak munasabah sehingga sampai kemuncaknya ditertawakan oleh masyarakat dan luar,” jelasnya lagi.

Semalam, Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmad Lana, berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pusat pelancongan itu dibuka kepada pengunjung bermula 5 Mac ini. 

Tidak ketinggalan, aktiviti penggambaran dan pawagam juga dibenarkan beroperasi mengikut SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).