Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Umat Islam di Malaysia harus terima keputusan Mahkamah Persekutuan

ULASAN | Kumpulan G25 menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Feb lalu yang mengisytiharkan tidak sah perundangan negeri Selangor berhubung isu hubungan seks luar tabii kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang berkenaan ialah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau Syariah Criminal Offences Enactment (Selangor) 1995.

Kesemua sembilan hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara membuat keputusan demikian berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa pengwujudan kesalahan jenayah adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan, justreru mana-mana negeri - termasuk Selangor - tidak mempunyai kuasa ke atas perkara yang merupakan kesalahan jenayah di bawah undang-undang Persekutuan.

Ini termaktub di Butiran 4 Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan:

4. Undang-undang dan prosidur sivil dan jenayah serta pentadbiran keadilan, termasuk -

[…]

(h) Pengwujudan kesalahan-kesalahan mengenai mana-mana perkara yang termasuk di bawah Senarai Persekutuan atau diperuntukkan oleh undang-undang perskutuan.

Butiran 4 Senarai Persekutuan ini hendaklah dibaca bersama Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (Item 1, State List, Ninth Schedule, Federal Constitution) yang memperuntukkan:

[...] pengwujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan [...]

Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, di peringkat persekutuan, Parlimen telahpun mewujudkan suatu kesalahan untuk melarang dan menghukum perbuatan hubungan seks luar tabii dengan memperuntukkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Perlembagaan Pesekutuan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini, dan undang-undang yang dibuat oleh mana-mana negeri hendaklah selaras dengannya.

Jelas bahawa kesalahan melakukan hubungan seks luar tabii - yang secara kebetulan juga merupakan kesalahan terhadap perintah Islam - adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan, bukannya negeri.

Dihukum dua undang-undang

Dengan itu, Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat undang-undang yang sama kerana ini melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Seperkara lagi, keputusan Mahkamah Persekutuan itu selari dengan prinsip kesamarataan (principle of equality) yang termaktub di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapatkan perlindungan undang-undang yang sama (all persons are equal before the law and entitled to the equal protection of the law).

Undang-undang negeri seperti seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 - andainya dibenarkan berkuat kuasa - akan merupakan suatu undang-undang yang bertentangan dengan prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah kerana orang Islam di negara ini yang melakukan kesalahan hubungan seks luar tabii boleh dihukum di bawah dua undang-undang, iaitu Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Sedangkan orang bukan Islam yang melakukan perbuatan sama cuma boleh dihukum di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan sahaja.

Dengan perkataan lain seksyen 28 mendiskriminasi orang Islam: orang Islam akan tertakluk kepada dua jenis kesalahan dan hukuman, sedangkan orang bukan Islam akan tertakluk kepada satu kesalahan dan hukuman saja.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada 27 Feb membuat kenyataan bahawa beliau bependapat penghakiman Makahmah Persekutuan itu boleh membawa kepada kekeliruan.

G25 tidak menafikan ia boleh berlaku kerana orang ramai yang beragama Islam di negara ini mengetahui bahawa hubungan seks luar tabii merupakan kesalahan terhadap perintah agama.

Namun begitu menjadi kewajipan Mahkamah Persekutuan untuk mendukung keluhuran perlembagaan sepertimana terkmaktub di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan dan di bawah prinsip ketiga dan keempat Rukun Negara.

G25 berpendapat umat Islam di Malaysia harus menerima keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana ia bukan sahaja selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, malah memberi keyakinan kapada semua rakyat berbilang kaum dengan memastikan keseragaman dalam undang-undang (a uniform system of law) untuk seluruh negara.

Ini juga memberi keyakinan kepada dunia luar bahawa Malaysia adalah negara yang progresif dalam sistem perundangannya.


G25 ialah kumpulan yang dianggotai bekas penjawat awam kanan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.