Cuai asuh bayi sehingga maut, penganggur dipenjara dua tahun
Seorang penganggur dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini akibat cuai mengasuh seorang bayi lelaki berusia enam bulan hingga menyebabkan pendarahan di dalam kepala dan mengakibatkan kematian, tahun lepas.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Khairol Azhari Zulkepli, 28, selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas bayi lelaki itu di dalam bilik sebuah kondominium di Taman Desa, di Kuala Lumpur pada 10 pagi, 18 Sept 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mahyon turut menasihati Muhammad Khairol supaya mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku.
“Kesalahan ini serius kerana melibatkan kematian bayi yang baru berusia enam bulan,” kata hakim itu.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula hari ini dan sebaik sahaja mendengar keputusan mahkamah, tertuduh dilihat menangis manakala isterinya yang berada di galeri awam juga tidak dapat menahan sebak.
Terdahulu, Muhammad Khairol yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda minimum atas alasan mahu menjaga isterinya.
“Isteri tidak ada keluarga lain dan saya baru diberhentikan kerja. Saya sayang bayi itu,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman berbentuk pemenjaraan atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius.
“Mangsa baru berusia enam bulan dan tertuduh masih mengasuh bayi itu walaupun tidak mempunyai sijil kelayakan dan pengalaman mengasuh budak,” katanya.
Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan kakitangan di sebuah hospital memaklumkan bahawa mangsa telah dibawa oleh ibu bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada pernafasan serta pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu mengalami pendarahan di dalam otak akibat kecederaan dan kemalangan.
Difahamkan, bayi malang itu adalah anak asuhan isteri tertuduh yang dijaganya sementara ketiadaan isterinya di rumah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai