Shahrir: Calon ketua kampung Bersatu dapat markah tak tinggi
Veteran Umno Shahrir Ab Samad membidas Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Johor Muhammad Shamsuddin Paijan yang tidak berpuas hati berkenaan pelantikan ketua kampung yang dikatakan banyak dipilih dalam kalangan orang Umno sahaja.
Shahrir memberikan bayangan bahawa calon-calon yang diketengahkan Bersatu untuk jawatan ketua kampung tiada yang memperoleh markah tinggi dalam temu duga dengan Pejabat Daerah.
Malah, dakwanya, ada usaha daripada menteri Bersatu yang mahu mengambil alih urusan pemilihan ketua kampung itu, meskipun urusan itu sebenarnya terletak di bawah kerajaan negeri.
“Apa nak bertelagah kalau tak ada yang tinggi markah dalam temuduga Pejabat Daerah.
“Memang ada usaha di Johor, Menteri Pembangunan Luar Bandar (Abdul Latiff Ahmad) cuba ambil alih pemilihan ketua kampung melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Tapi jawatan ketua kampung bawah kerajaan negeri bukan Federal (persekutuan) punya.
“Lain kali, kenalah ketengahkan calon-calon yang lebih berwibawa, boleh lulus tinggi bila ditemu duga. Ada kualiti, bolehlah bertelagah. Jangan harapkan kuota saja,” katanya di Facebook.
Untuk rekod, Abdul Latiff ialah ahli parlimen Mersing yang menukar sokongannya kepada Bersatu selepas pilihan raya umum lalu.
Semalam, Muhammad Shamsuddin membidas menteri besar Johor Hasni Mohamad kerana dikatakan langsung tidak mendukung kebersamaan dalam Perikatan Nasional (PN) yang dilaungkan sebelum ini, apabila calon Bersatu tidak dipilih sebagai ketua kampung.
Katanya, Husni yang juga pengerusi perhubungan Umno Johor, sebelum ini mahu memberikan hak kesamarataan bersama parti komponen dalam kerajaan PN yang memimpin negeri Johor.
Tetapi, katanya lagi, lantikan jawatan ketua kampung di Johor dikuasai orang Umno.
Sebelum keruntuhan pentadbiran PH, Bersatu menerajui kerajaan negeri tetapi kemudian Umno kembali memimpin negeri itu pada hujung Feb tahun lalu.
Meskipun Umno menyokong PN, parti itu bukan termasuk sebagai anggota PN.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai