Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Kenapa dulukan vaksinasi MP, Adun berbanding petugas kesihatan?'

Apakah logik memvaksinasi Adun dan ahli parlimen terlebih dahulu berbanding petugas kesihatan yang berhadapan risiko lebih tinggi, soal AJK DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

Walaupun kedua-dua kumpulan itu memenuhi syarat untuk vaksinasi awal Fasa Satu, Boo berkata pekerja penjagaan kesihatan berurusan secara langsung dengan pesakit Covid-19 termasuk memberikan ujian ke atas mereka.

Katanya, ini termasuk pekerja kesihatan swasta yang harus menjalani ujian terhadap pesakit Covid-19.

Boo, seorang pengamal perubatan kesihatan swasta dan sebelum ini dijangkiti Covid-19, berkata pekerja perubatan menghadapi risiko yang lebih tinggi berbanding Adun atau MP.

"Ramai menteri dan anggota exco negeri sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 sebelum pekerja kesihatan awam dan swasta mendapatkannya.

"Cukup mengejutkan, pemimpin politik ini sebenarnya disenaraikan sebagai Kategori Dua keutamaan vaksinasi, bersama dengan pengamal perubatan umum, doktor gigi dan pekerja kesihatan," katanya pada satu kenyataan.

Gambar fail, Dr Boo Cheng Hau.

Beberapa pemimpin kanan kerajaan telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 tetapi pemimpin lain seperti Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Perlis Azlan Man memberikan slot mereka kepada pekerja kesihatan.

Boo mengulas garis panduan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang menetapkan definisi pihak yang layak mendapat vaksinisasi bawah Fasa Satu.

Katanya, jika vaksin Covid-19 akan diberikan kepada wakil rakyat pada masa ini, mereka mestilah termasuk dalam kategori kumpulan berisiko tinggi dengan penyakit morbiditi dan merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Menurut Boo, perkara ini menunjukkan "sikap mementingkan diri pemimpin" yang sepatutnya mengutamakan vaksinasi di kalangan pekerja kesihatan dan petugas barisan hadapan awam.

Garis panduan JKJAV disusun sebagai maklum balas terhadap banyak aduan cubaan untuk memotong barisan dalam program vaksinasi.

Garis panduan tersebut mengkategorikan barisan petugas hadapa yang berkelayakan untuk vaksinasi awal bawah Fasa Satu menjadi dua kategori.

Kategori pertama melibatkan pekerja kesihatan dan juruteknik yang terlibat secara langsung dalam menangani dan merawat pesakit.

Ini termasuk pegawai perubatan, ahli farmasi, pegawai sains, jururawat, juruteknik sinar-X dan pemandu ambulans.

Kategori kedua merangkumi komuniti penjagaan kesihatan yang lebih luas seperti pengamal am, doktor gigi swasta, pengamal perubatan tradisional dan pekerja makmal swasta.

Juga termasuk dalam kategori kedua termasuk pegawai penguatkuasa, guru dengan pelbagai penyakit morbiditi, menteri dan wakil rakyat.