Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PAS yakin undang-undang sivil dan syariah boleh diharmonikan

PAS akan berusaha agar undang-undang sivil di negara ini dapat diharmonikan dengan undang-undang syariah, kata setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan.

Ini selepas Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengetepikan undang-undang syariah negeri Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

"Menyedari bahawa Malaysia sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, PAS akan turut berusaha agar undang-undang sivil yang berteraskan Undang-undang Lazim (Common Law) dalam negara ini dapat diharmonikan dengan undang-undang Syariah," kata Takiyuddin yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Katanya, PAS yakin prinsip undang-undang syariah yang diiktiraf oleh Mahkamah British sejak zaman pra-Merdeka mampu mewujudkan wajah baru dan dinamik kepada sistem perundangan negara.

"Ini dapat dilihat dalam keputusan kes Ramah binti Ta’at vs. Laton binti Malim Sutan yang diputuskan pada tahun 1927 yang mengatakan “the Mohammedan law is not a foreign but local law, that it is the law of the land”.

"Begitu juga dalam kes Fatimah binti Harrris vs. Ismail Haji Tahir yang diputuskan dalam tahun 1939, Mahkamah British pada masa itu mengatakan “that Mohammedan law is a part of the law of Johore”," katanya.

Justeru katanya PAS menyeru agar semua pihak menghormati dan tidak cuba mengambil pendekatan yang tidak wajar dengan mencabar aspek-aspek perundangan sedia ada yang dibuat oleh badan perundangan negeri.

Jelasnya, ia demi kebaikan kehidupan sosial, keharmonian agama dan budaya serta perpaduan negara.

"PAS bimbang sesuatu keputusan yang terpaksa dibuat oleh badan kehakiman atas desakan yang tidak wajar akan membawa kepada implikasi yang tidak bermanfaat kepada negara dan rakyat jelata," kata Takiyuddin.

Pada 25 Februari lalu, barisan panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang berhubung kesalahan seks luar tabii.

Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa negeri dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah liwat kerana kesalahan liwat telah termaktub di dalam Kanun Keseksaan, antaranya di bawah Seksyen 377A.