Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lembaga Disiplin Umno terlepas peluang buktikan ketelusan - Tun Faisal

Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz berkata Lembaga Disiplin Umno terlepas peluang membuktikan ketelusan mereka apabila tiga permintaan yang dikemukakannya kepada lembaga itu, telah kesemuanya ditolak.

Katanya, tiga permintaan tersebut dibuat bagi membolehkannya membuat persiapan sebaiknya untuk membela diri ketika menghadap lembaga disiplin parti itu nanti.

Permintaan itu, katanya, dibuat selepas dia menerima nasihat daripada rakan pengamal undang-undang dan veteran Umno yang bimbang tentang keadilan oleh lembaga tersebut.

“Apabila permintaan ini ditolak, bagi saya, ini adalah 'missed opportunity' (peluang yang terlepas) kepada Lembaga Disiplin untuk menunjukkan bahawa mereka telus, benar-benar terbuka dan benar-benar mahu mencari kebenaran.

“[...] Saya tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi kebimbangan dan ketakutan kepada pihak Lembaga Disiplin Umno apabila tidak menunaikan permintaan saya.

“Bukankah jika ketiga-tiga permintaan ini dipenuhi, tanggapan terhadap Lembaga Disiplin Umno akan menjadi lebih positif? Tidakkah Lembaga Disiplin Umno dan Umno sendiri akan dilihat amat komited untuk berlaku adil dan bersikap telus?” soalnya di Facebook hari ini.

 

Berdasarkan hantaran sebelumnya, tiga permintaannya itu adalah untuk lembaga disiplin memberikannya senarai nama anggota tribunal, iaitu pengerusi dan anggotanya; serta nama pengadu atau nama Umno Bahagian yang membuat aduan terhadapnya serta butiran aduan asal dan peraturan-peratuan yang didakwa telah dilanggar.

Permintaan ketiga pula adalah membenarkannya membawa dua orang pengamal undang-undang untuk hadir bersama sebagai pemerhati dan penasihat.

Dalam hantaran sama, Tun Faisal mengungkit beberapa kes politik wang dalam pemilihan parti yang dibawa ke Lembaga Disiplin yang katanya, menunjukkan hukuman berbeza dijatuhkan terhadap individu berbeza, meskipun kesnya hampir sama.

“Bagi individu biasa, mereka dikenakan hukuman gantung, tapi bagi individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kepimpinan, mereka hanya diberikan amaran.

“Begitu juga kes yang melibatkan Datuk Lokman Adam. Sampai sekarang masih ada bunyi-bunyi berkaitan ketelusan dan keadilan mengenainya,” katanya lagi.

Kata Tun Faisal, dia telah membuat permohonan sekali lagi kepada Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Zul Hasnan Rafique untuk pertimbangan berhubung permintaannya itu.

Tun Faisal diberi surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke ke tribunal lembaga disiplin parti itu kerana mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.

Dia sebelum ini dilapor berkata Zahid hilang kredibiliti dan mengkhianati parti susulan dakwaan cuba membawa Umno menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, selain mempertahankan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang dikritik sesetengah pemimpin Umno.