Kontrak projek 5G perlu telus, tender terbuka - Faiz Fadzil
Segala pemberian kontrak kerajaan dalam projek teknologi generasi kelima (5G) perlu "telus dan diberikan atas dasar tender terbuka," gesa Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.
Jelasnya, sektor swasta sewajarnya menerajui pembinaan dan pengurusan infrastruktur 5G dengan bantuan kerajaan untuk mengurangkan kos.
“Sektor swasta sepatutnya menerajui pembinaan dan pengurusan infrastruktur 5G dengan dibantu kerajaan untuk mengurangkan kos...
“Bukan itu sahaja, perlaksanaan 5G tidak harus diutamakan hanya di bandar, malah harus cepat sampai ke kawasan luar bandar.
“Kita tidak mahu kesenjangan digital (digital inequality) Malaysia terus merosot bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi kesan kepada sosio-ekonomi dan kualiti pendidikan orang Melayu dan penduduk luar bandar,” katanya yang juga AJK Amanah Kebangsaan pada satu kenyataan.
Tambahnya, masih belum terlambat bagi kerajaan PN untuk membetulkan keputusan pelaksanaan 5G menerusi syarikat tujuan khas (SPV).
Dia berkata demikian selepas Fitch Solutions, cabang penyelidikan agensi penarafan kredit Fitch Group, membidas keputusan kerajaan untuk melaksanakan spektrum 5G melalui SPV.
Fitch Solutions melihat keputusan itu sebagai satu risiko kepada pasaran, berkata, kemungkinan kurang ketelusan di dalam SPV akan menjejaskan kadar pelancarannya, selain kebimbangan lain seperti kos yang lebih tinggi.
“Tanggapan rasuah dalam kalangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut boleh menjejaskan potensi pelancaran 5G," kata firma itu pada 24 Feb.
Menurut Fitch Solutions lagi, ini boleh membuka ruang untuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam proses pembangunan, meskipun pengawal selia telekomunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berikrar untuk memastikan operasi SPV itu telus.
“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bagi memuaskan hati rakan gabungannya, telah memberikan kedudukan penting dalam kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan sokongan politiknya, dan mungkin jawatan eksekutif dalam entiti baru ini akan diberikan kepada sekutu politik," dakwa firma itu.
Pada 22 Feb lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan memutuskan untuk berbuat demikian bagi memastikan proses tersebut berjalan cepat.
Kata Saifuddin, fokus kerajaan sekarang adaah untuk membawa teknologi tersebut dan pada sama melaksanakan ia secepat mungkin.
Mengulas lanjut, Faiz hari ini berkata tindakan kerajaan PN untuk campur tangan secara langsung dalam perlaksanaan teknologi 5G Malaysia yang melibatkan pelaburan RM15 bilion juga mencurigakan.
Tambanya melalui kaedah ini, kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan pemberian kontrak sejurus menimbulkan isu birokrasi dan korupsi.
“Sebuah SPV akan dibentuk di bawah kementerian kewangan untuk memiliki, membina dan menguruskan infrastruktur 5G negara.
“Sudah pasti melalui konsep ini, PN mempunyai kuasa mutlak memutuskan pembahagian kontrak-kontrak utama berkaitan 5G dan seterusnya boleh menimbulkan unsur korupsi dan birokrasi.
“Ini sememangnya membimbangkan, memandangkan reputasi PN yang dibina atas konsep “scheme of things” dan dilihat mengkayakan ahli parti dan ahli keluarga mereka walaupun baru setahun berkuasa,” dakwanya.
'Mampu kurang kos'
Sekiranya pelaksanaan 5G gagal akibat konsep SPV, Faiz menjelaskan, negara akan dilihat jauh ketinggalan dalam aspek ‘digital connectivity’ (perhubungan digital).
“Justeru, kerajaan PN seharusnya mengikut jejak langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang telah bercadang untuk membentuk satu konsortium yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan.
“Konsep ini mampu mengurangkan kos, mempercepatkan pelaksanaan 5G dan yang paling penting, telus dari aspek pemberian kontrak berkonsepkan tender terbuka,” kata anak kepada bekas presiden PAS Allahyarham Fadzil Noor itu.
Spektrum 5G akan dimiliki sepenuhnya dan diuruskan oleh SPV yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan dan dilaporkan berbeza dengan model bidaan pasaran terbuka yang diguna pakai oleh banyak pasaran Asia dalam memperuntukkan lesen dan frekuensi 5G.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai