Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MB, Exco Selangor terima vaksin hari ini

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam.

Seramai 34 individu turut menerima vaksin pada pelancaran Program Imunisasi Vaksin Covid-19 peringkat Selangor hari ini termasuk Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, anggota ex officio negeri, anggota exco negeri dan anggota jawatankuasa majlis keselamatan negeri.

Mereka dijangka menerima dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech pada 18 Mac.

Amirudin berkata kesemua anggota dewan undangan negeri (Adun) Selangor akan divaksin menerusi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19.

Katanya, ini kerana mereka dianggap sebagai petugas barisan hadapan yang akan ditugaskan untuk menguruskan fasa kedua dan ketiga program tersebut.

“Kenapa mereka diletak sebagai petugas barisan hadapan? sebab merekalah yang akan uruskan vaksin di pusingan kedua yang dijangka bermula April atau Mei paling awal dan juga pusingan ketiga sekitar Julai atau Ogos dan diikuti sampailah akhir tahun ini sehingga Februari 2022,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tambahnya, selain Adun, pegawai daerah dan yang dipertua majlis tempatan akan turut menerima vaksin tersebut.

Selangor mempunyai 55 Adun termasuk Amirudin yang merupakan Adun Sungai Tua.

Jelasnya, kerajaan negeri akan menyediakan 78,000 vaksin bagi petugas barisan hadapan terpilih termasuk pegawai polis, tentera dan guru sekolah.

Mengulas pertanyaan media berhubung usaha kerajaan negeri membeli vaksin sendiri buat rakyat, Amirudin berkata langkah itu berada di landasan yang betul dan dijangka menerima lima juta vaksin menjelang Mei depan.

“Usaha berjalan dengan baik. Saya dah bincang lebih lanjut dengan beberapa pihak. Kita mungkin terima vaksin itu seawal Mei.

“Sudah tentu, lagi sekali ini bukan proses untuk meraih mata politik. Ia untuk pemulihan negara,” jelasnya.

Jelas Amirudin lagi, fokus kerajaan negeri dalam membeli vaksin tersebut adalah untuk memastikan ia tidak akan bertindih dengan program yang dijalankan oleh kerajaan persekutuan.

“Setakat ini, kita ada kerjasama yang bagus bersama kerajaan persekutuan dan agensi kerajaan negeri,” tambahnya.

Minggu lalu, portal The Edge melaporkan bahawa Amirudin mengambil langkah membeli vaksin tersebut bagi mengurangkan beban kerajaan.

Dia juga memaklumkan setakat ini, hanya kerajaan negeri Selangor dan Sarawak berhasrat untuk membeli vaksin.