Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KPM: Biasiswa ISMP 2021 tak ditawarkan untuk bahasa Tamil sebab lebihan guru

Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan program biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) tidak ditawarkan kepada bidang bahasa Tamil bagi tahun ini kerana terdapat lebihan guru dalam mata pelajaran bahasa tersebut di sekolah menengah.

Menurut KPM, penawaran biasiswa ISMP dibuat berdasarkan perancangan dan unjuran keperluan guru di sekolah menengah bagi tahun tersebut.

"Pada tahun ini, KPM telah mengunjurkan sebanyak 28 mata pelajaran yang mempunyai keperluan di sekolah menengah KPM dan perlu diisi menjelang tahun 2025.

"Untuk makluman, biasiswa ISMP bidang bahasa Tamil tidak ditawarkan pada tahun ini kerana terdapat lebihan guru dalam mata pelajaran bahasa Tamil di sekolah menengah," kata kementerian itu dalam kenyataan media hari ini.

Menurut poster yang dikeluarkan oleh KPM, biasiswa ISMP ditawarkan kepada 28 mata pelajaran termasuk bahasa Inggeris, Cina, Iban, Kadazan dan Dusun.

Permohonan biasiswa itu boleh dibuat secara dalam talian bermula 1 Mac hingga 31 Mac 2021.

Susulan itu, sejumlah warga maya semalam mempersoalkan ketiadaan program biasiswa kepada bidang bahasa Tamil, dengan menyifatkan ia meminggirkan pelajar sarjana muda dalam bidang itu dan meminta KPM memberikan penjelasan.

Dalam pada itu, KPM berkata Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan melaksanakan pengambilan pelajar bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bidang pengkhususan bahasa Tamil bagi kemasukan September 2021.

"Unjuran KPM mendapati terdapat keperluan guru bahasa Tamil di sekolah rendah menjelang 2026.

"KPM sentiasa memastikan penawaran tempat untuk sebarang program pengajian dibuat supaya bekalan guru memenuhi unjuran bidang keperluan," kata KPM lagi.