Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PDF Lynas: Cemar sumber air tindakan jenayah, kata peguam

Peguam alam sekitar membangkitkan rasa bimbang terhadap kemudahan pelupusan tetap (PDF) Lynas memandangkan pencemaran sumber air dari bahan radioaktif atau toksik dianggap sebagai kesalahan jenayah.

“Di bawah Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air (2b) 2006, pencemaran bekalan air oleh bahan radioaktif atau bahan toksik satu jenayah serius,” kata peguam Meenakshi Raman yang juga merupakan presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Ketika dihubungi, Meenakshi menyatakan, laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) telah mengesahkan, efluen yang dikeluarkan dari loji rawatan bahan larut lesap (LTP) tidak dapat menghilangkan radionuklida sepenuhnya dan ia bergantung pada aliran sungai bagi pelarutan secukupnya.

Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air menjelaskan bahawa adalah satu jenayah untuk mencemarkan mana-mana bahagian aliran air atau sistem bekalan air yang mungkin membahayakan nyawa seseorang.

Seksyen 121 (2) (b) pula menjelaskan terperinci, bahawa jika perbuatan terbabit tidak menyebabkan kematian namun bahan yang digunakan untuk mencemarkan air mempunyai bahan radioaktif atau toksik, indivitu itu boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun, denda tidak melebihi RM500,000, atau sebatan atau ketiga-tiganya.

Pembuangan sampah di kawasan tadahan air

Projek PDF Lynas terletak di tadahan air Sungai Riau, di mana ia bercanggah dengan dakwaan Lynas dan kerajaan negeri Pahang.

Menurut laporan EIA, air ribut (stormwater) yang tercemar akan dirawat oleh loji rawatan bahan larut lesap (LTP) sebelum disalurkan ke Sungai Ara.

Sungai Ara berhubung dengan Sungai Riau yang mengalir ke Sungai Kuantan - lokasi terletaknya Takungan Air Kobat. Takungan air ini menyalurkan air ke Loji Rawatan Air Semambu, yang beroperasi untuk 781,000 pengguna di Kuantan.

 

Meskipun tiada piawaian khusus bagi pembuangan bahan radioaktif menerusi Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Industri) 2009, laporan EIA mencadangkan piawai efluen LTP sendiri di mana bahan radioaktif dibenarkan.

Laporan EIA menyimpulkan, walaupun efluen mengandungi logam berat dan radionuklida, kepekatan zat pada titik pengambilan air akan tetap memenuhi Kriteria Kualiti Air Mentah (RWQC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerana bahan itu akan dicairkan air sungai.

Tapak pelupusan belum dapat dinilai

Sementara itu, Meenakshi menekankan bahawa projek PDF Lynas hanya akan merangkumi 29 peratus dari keseluruhan tapak pelupusan sisa pelbagai kategori itu.

“Kesemua penilaian impak dan langkah-langkah mitigasi yang dicadangkan dalam EIA PDF telah dilakukan berdasarkan keadaan persekitaran yang ada sekarang, misalnya, lingkungan semula jadi di hutan simpan.

“Itu belum mengambil kira gangguan yang akan berlaku akibat pembinaan kemudahan MCISWDS,” katanya.

Dia turut menyatakan, masih tidak jelas bagaimana sisa industri lain yang dijangka dibuang di kawasan lebih besar akan bercampur dengan bahan dari PDF.

Jelasnya, ia adalah satu hal yang penting untuk dinilai dan dipertimbangkan.

“SAM percaya, sangat tidak wajar untuk pertimbang PDF dan EIA tanpa menilai MCISWDS EIA dan kepentingannya bagi PDF,” tambahnya.

Prosedur penuh kesalahan

Menyorot gesaan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Meenakshi menambah terdapat beberapa kesalahan dari segi prosedurnya.

Tapak projek itu masih dikategorikan sebagai kawasan lingkungan Peringkat 1 (KSAS Tahap 1) dalam Rancangan Tempatan Kuantan (KLP) 2035, yang tidak dapat dikembangkan menjadi tapak pelupusan sampah sebelum mengubah kepada rancangan tempatan.

“Tidak wajar tidak meneruskan proses EIA pada tahap ini, sehingga atau kecuali KLP dipinda.

“Jika tidak, DG akan melanggar Seksyen 34A (4) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA), dan juga Akta Perancangan Bandar dan Desa,” jelasnya.

Tambahnya, ini kerana, KLP 2035 mempunyai kesan undang-undang sehingga ia boleh dipinda untuk membenarkan pembinaan PDF di tapak dicadangkan.

Meenakshi turut merujuk keputusan Mahkamah Rayuan pada 27 Jan lalu berhubung isu Taman Rimba Kiara.

“Di bawah Seksyen 34A (4)(a), keputusan merujuk rancangan pembangunan sedia ada, bukan pelan masa depan yang masih belum ada perkembangan,” jelasnya.

'Bercanggah dengan logik biasa’

Peguam Hon Kai Ping, yang juga merupakan ahli jawatankuasa persekitaran dan perubahan iklim majlis peguam, percaya projek PDF bakal menimbulkan risiko besar ke atas sistem bekalan air di Kuantan.

“Kini, pasukan kajian EIA sedang meneliti tapak tersebut yang bercanggah dengan semua logik biasa,” katanya.

Dia turut menyatakan Seksyen 25 EAQ turut melarang pembuangan sampah bagi mencemarkan perairan pedalaman.

Tambahnya, penduduk dan pemilik atau pengarah syarikat yang bertanggungjawab boleh didakwa.

Bagaimanapun, Hon berpendapat, mengenakan tindakan berat, kemungkinan tidak akan mengurangkan jumlah pihak yang membuat kesalahan.

 

“Pada Mac 19, 2021, adalah tarikh akhir orang awam membeli maklum balas meskipun terpaksa menerima hakikat bahawa ia merupakan kawasan tadahan air,” tambah Hon yang juga merupakan penasihat undang-undang bagi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL).

Malaysiakini telah menghubungi Lynas, Jabatan Alam Sekitar dan Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa) Tuan Ibrahim Tuan Man bagi mendapatkan respons lanjut.

PDF akan menempatkan sisa residu dari penulenan air larut lesap (WLP) Lynas.

Walaupun sisa itu didakwa mempunyai radioaktiviti yang rendah, penimbunannya selama bertahun-tahun menimbulkan kebimbangan.

Pandangan dan maklum balas orang awam mengenai laporan EIA projek itu, pada mula sepatutnya berlangsung dari 27 Jan hingga 28 Feb namun ia dilanjutkan sehingga 19 Mac.