Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Plus: Operasi R&R di kawasan PKPB lanjut hingga 12 malam

Plus Malaysia Berhad (Plus) melanjutkan operasi premis makanan dan minuman di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di lebuh raya kendaliannya hingga 12 tengah malam di negeri-negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Urusan Plus Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata bagi negeri-negeri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia kekal beroperasi bermula 6 pagi hingga 10 malam.

“Selari dengan prosedur operasi standard (SOP) PKPB, waktu operasi terkini dan kapasiti tempat duduk berdasarkan kepada saiz meja sudah pasti memudahkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan bersama keluarga atau kumpulan pekerja untuk makan bersama.

“Kami berharap langkah ini dapat membantu meningkatkan perniagaan kepada pengusaha gerai dan rakan niaga kami kerana pertambahan kunjungan orang ramai ke R&R sangat dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata semasa tempoh PKP dan PKPB, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam dengan menjalankan pembersihan berjadual lebih kerap.

“Untuk menikmati pelbagai hidangan makanan dari gerai dan rakan niaga, Plus menasihatkan pelanggan supaya dapat membuat Pra-Pesanan makanan menerusi Aplikasi Plus atau klik https://orderdisini.plus.com.my/.

Pelanggan juga boleh melayari Facebook rasmi Plus Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai fungsi Pra-Pesanan.

“Plus juga menggalakkan pelanggan supaya memuat turun aplikasi Plus bagi memudahkan mereka merancang perjalanan di lebuh raya dengan terdapatnya maklumat trafik terkini serta paparan kamera litar tertutup (CCTV) mengenai keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya,” katanya.

- Bernama