Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengusaha restoran dan bar minta kepastian SOP 'berbeza'

Pengusaha-pengusaha restoran & bar Bangsar (BRO) hari ini meminta kerajaan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kekeliruan prosedur operasi standard (SOP) berhubung penjualan alkohol di restoran.

Pengerusi penaja BRO, Benny Bedi, berkata pihaknya sangat keliru dengan peraturan yang ada.

Katanya berdasarkan keterangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mereka dibenarkan menjual alkohol namun polis Kuala Lumpur pula berpendapat sebaliknya.

"Jadi, kami nak ikut yang mana satu?

"Kami harap kerajaan segera mengadakan perbincangan merangkumi semua pihak termasuk MKN, polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan wakil pengusaha restoran dan bar," katanya.

Dia berkata demikian selepas dua kenyataan dirasakan berbeza dibuat Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berhubung penjualan alkohol.

Benny Bedi

Terdahulu, Ismail Sabri menjelaskan penjualan minuman keras dalam restoran bukan di bawah bidang kuasa MKN.

Menurut laporan The Vibes, Ismail Sabri dipetik sebagai berkata restoran yang menjual minuman keras tidak termasuk dalam senarai perniagaan yang dilarang.

Arah tutup keranan langgar SOP

Kata menteri kanan itu MKN mengeluarkan senarai perniagaan yang dilarang menjalankan perniagaan termasuk pub, bar, kelab malam, pusat karaoke dan pusat hiburan.

"Restoran yang menjual arak tidak termasuk dalam senarai itu. Lagi pun kebanyakan restoran Jepun menjual sake," katanya yang dipetik portal itu.

Saiful Azly pula ketika mengulas kenyataan beberapa pengusaha restoran dan bar sebelum ini berkaitan kekeliruan SOP, berkata bahawa penjualan minuman keras memang tidak dibenarkan di restoran.

"Premis yang mempunyai lesen restoran dan bar tidak boleh membuka bar mereka. Hanya (bahagian) restoran yang dibenarkan beroperasi,” kata Saiful Azly yang dipetik lapor The Malaysian Insight.

Kekeliruan itu berlaku selepas polis semalam mengarahkan beberapa restoran yang menjual alkohol di Jalan Telawi, Bangsar, menutup operasi mereka kerana melanggar SOP.

Danny Thomson

Pemilik restoran dan bar W1, Danny Thompson, premisnya menjual alkohol selepas mendapat kebenaran polis sebelum ini.

"Sebelum ini, polis pernah datang ke premis bertanya mengenai penjualan alkohol.

"Saya pergi ke balai berdekatan untuk mendapatkan penjelasan. Mereka tanya adakah saya mempunyai lesen yang masih aktif untuk menjual alkohol.

"Saya kata ya. Kemudian, mereka kata tidak ada masalah saya menjual alkohol.

"Tetapi, semalam tiba-tiba mereka datang ke premis saya dan beritahu saya tidak boleh menjual alkohol. Saya sangat keliru sekarang," katanya.

Sementara itu, pemilik Shuruti Box, S Siva Shankar, berkata kelab malam dengan restoran dan bar adalah dua konsep yang berbeza.

"Kelab malam bermakna adanya tempat untuk menari, kebanyakan masa ada persembahan muzik atau band tapi kami adalah restoran dan bar hampir sama dengan restoran yang lain.

"Cuma bezanya, pelanggan boleh minum alkohol sambil makan di restoran kami.

"Dan menurut warta Kerajaan Persekutuan kelab malam tidak dibenarkan sebaliknya restoran dan bar dibenarkan," katanya.

Joshua Billique

Dalam pada itu, pemilik restoran Billique, Joshua Billique, berkata mustahil bagi pengusaha restoran dan bar bertahan tanpa menjual alkohol.

"Sebab itu memang konsep kami. Makan sambil minum alkohol.

"Sebut pasal SOP, kami telah pun mengurangkan kapasiti premis kami kepada 50 peratus. Arahan agar tiada persembahan muzik pun dilaksanakan.

"Maka, kami harap pengusaha restoran dan bar dibenarkan semula menjual alkohol," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, pihak polis menyerbu beberapa restoran dan bar di Jalan Changkat Bukit Bintang petang ini.

Malaysiakini diberitahu seorang pemilik restoran di Changkat Bukit Bintang pihak polis meminta premisnya tidak boleh membuka kawasan (bar) yang menyediakan alkohol.