Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Giliran EU, diplomat Norway dan Swiss suarakan kebimbangan

Duta Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia bersama-sama dengan Duta Norway dan Switzerland adalah diplomat terbaru menyuarakan kebimbangan mereka terhadap penghakiman mahkamah ke atas Malaysiakini semalam.

Menganggapnya sebagai tamparan terhadap kebebasan akhbar di negara ini mereka mengingatkan media adalah tunggak kepada masyarakat demokratik.

"Walaupun menyedari sepenuhnya kebebasan dan martabat badan kehakiman, kami bimbang dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Malaysiakini dan kesannya terhadap kebebasan akhbar di Malaysia.

"Kebebasan akhbar adalah tunggak kepada masyarakat demokratik.

"Media sangat penting untuk perbahasan, ketelusan dan pertanggungjawaban," kata kenyataan media bersama yang dikeluarkan hari ini.

Semalam Kedutaan AS berkata pihaknya memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan dan kesannya terhadap kebebasan akhbar di Malaysia.

"Kebebasan bersuara, termasuk wakil akhbar dan masyarakat umum adalah asas bagi prinsip demokrasi yang menyokong kebertanggungjawaban dan kerajaan yang baik," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi British Charles Hay dan pemangku Pesuruhjaya Tinggi Kanada Esther Van Nes pula berkata kebebasan akhbar penting bagi semua dan masyarakat mesti dibenarkan untuk membincangkan sesuatu masalah secara bebas.

“Kebebasan media penting untuk keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat.

"Orang ramai harus dibenarkan membincangkan sesuatu isu secara bebas,” kata Hey dan Van Nes.

Difahamkan diplomat antarabangsa sedang mengawasi usaha mengekang kebebasan media di bawah pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menasihatkan agar darurat diumum atas alasan untuk memerangi Covid-19.

Berita mengenai keputusan mahkamah terhadap Malaysiakini juga disiarkan dalam organisasi berita terkemuka seperti Reuters, serta saluran berita global utama seperti BBC, The Guardian, ABC News, New York Times, Al Jazeera dan banyak lagi.

Mahkamah Persekutuan semalam menjatuhkan hukuman denda RM500,000 kepada Malaysiakini, walaupun Jabatan Peguam Negara hanya memohon agar denda sebanyak RM200,000 dikenakan.

Dalam keputusan majoriti 6-1, hakim memutuskan Malaysiakini bertanggungjawab atas penghinaan terhadap mahkamah menerusi komen yang ditinggalkan pembaca di bawah suatu laporan berita.

Bagaiamanapun mahkamah memutuskan Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan, tidak bersalah.