Jual semula bantuan di kem pelarian: Tak wajar salahkan Rohingya - NGO
Orang ramai tidak wajar menuding jari kepada etnik Rohingya yang menjual semula barangan bantuan seperti apa yang berlaku berhampiran kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh baru-baru ini.
Sebaliknya, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berpendapat kemungkinan besar terdapat lebihan bantuan yang tidak diperlukan oleh etnik Rohingya yang berlaku disebabkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan tidak menyemak terlebih dahulu.
“Mungkin ada barang-barang yang berlebihan… dan mereka juga memerlukan wang tunai. Jadi mereka membuat pertimbangan sendiri walaupun itu tidak patut.
“Tapi kalau kita duduk dalam keadaan mereka, pemikiran itu akan berlaku juga.
“Jadi dengan demikian, NGO perlu meneliti betul-betul sebelum nak sampaikan bantuan tu, tengok keperluan itu banyak mana,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Malah menurut Mohd Azmi (gambar, bawah), pihak NGO juga tidak mempunyai maklumat lengkap daripada pihak berkuasa di Bangladesh dan sukar untuk pihak NGO memantau keadaan di dalam kem pelarian secara teliti.
“Jadi banyak yang berlaku di sana tu berlaku di luar pengetahuan banyak pihak,” katanya.
Walaupun menurutnya Mapim akan meneruskan sumbangan yang telah didermakan untuk pelarian Rohingya, Mohd Azmi berkata pihaknya akan memastikan penjualan semula barangan sumbangan mereka tidak berlaku di kem pelarian itu.
Baru-baru ini dilaporkan seorang pegawai kanan Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian (RRRC) mendedahkan pelbagai barangan makanan yang diagihkan kepada etnik Rohingya dijual secara terbuka dalam pasaran gelap berhampiran kem pelarian di Cox's Bazar.
Menurut laporan dari Dhaka Tribune, paket makanan yang difahamkan dengan label organisasi seperti Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan Program Makanan Dunia (WFP) dijual secara terbuka dengan harga yang murah.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar turut membangkitkan ia berlaku kemungkinan terdapat lebihan bantuan yang tidak diperlukan oleh etnik Rohingya.
“Bila kita (NGO) kenal pasti keperluan dan buat research, kita hantar berdasarkan keperluan.
“Tapi ada kalanya, mungkin ada sebahagian yang pergi tanpa buat groundwork dulu,” katanya yang akan menyebabkan berlakunya lebihan, penipuan dan menjual semula barangan sumbangan.
Memang prihatin, suka membantu
Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia termasuk NGO di negara ini aktif menjalankan misi kemanusiaan menghantar bantuan makanan kepada pelarian Rohingya.
Bantuan tersebut turut diberikan kepada etnik Rohingya yang berada di negara ini.
Bagaimanapun, berikutan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat negara ini, Kamarul berkata bantuan lebih tertumpu kepada rakyat tempatan yang terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram, Kamsani Nasir turut berpandangan supaya lebih menumpukan bantuan terhadap rakyat tempatan berikutan kesan pandemik berkata NGO perlu mempunyai data supaya bantuan tidak bertindih sesama mereka.
Difahamkan, isu menjual semula barangan lebihan makanan pernah berlaku di kalangan rakyat tempatan yang menerima bantuan yang sama dari beberapa NGO berlainan.
“Orang Malaysia ni prihatin dan suka membantu.. apabila suka membantu itu yang menyebabkan banyak pihak ambil kesempatan terutamanya orang yang tak bertanggungjawab macam ni.
“Tak kata semua orang macam tu. Tapi bagi saya nak elakkan penipuan, tindihan bantuan, benda-benda macam ni sepatutnya kita kena ada satu big data yang boleh menjadi sumber bahan rujuk,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai