Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysiakini terima dukungan, kebebasan media 'membimbangkan'

Pelbagai pihak hari ini tampil menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kebebasan media di negara ini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Malaysiakini berhubung komen ditinggalkan pembaca di portal berkenaan.

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan berkata keputusan mahkamah akan memberi kesan yang mengerikan terhadap kebebasan bersuara.

"Saya sangat sedih dan terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, bukan hanya keputusan terhadap Malaysiakini tetapi juga ukuran denda yang dikenakan.

"Ini akan memberi kesan mengerikan pada kebebasan bersuara dan kepada masyarakat, juga merupakan tamparan kepada demokrasi yang sudah sedia rapuh," katanya kepada Malaysiakini.

Ahli akademik James Chin pula melihat keputusan mahkamah yang menghukum portal berita kerana komen pembaca sebagai satu trend yang berlaku di seluruh dunia.

"Apa yang berlaku kepada Malaysiakini akan menyusahkan kita semua.

"Saya tidak pasti adakah Malaysiakini harus dihukum kerana komen yang dibuat pembacanya.

"Ini adalah sebahagian daripada trend di seluruh dunia untuk mengawal kandungan dengan menghukum sesebuah platform," katanya.

James Chin

DAP Kota Kinabalu pula menyifatkan apa berlaku itu adalah sesuatu menyedihkan bagi Malaysiakini dan untuk industri media secara keseluruhan di negara ini.

"Kami bersatu padu dengan rakan media kami di Malaysiakini. Ia memainkan peranan penting sebagai tunggak keempat demokrasi. Ia selalu membuat kami agar selalu bertanggungjawab," katanya di media sosial.

"Ini membahayakan kebebasan bersuara," kata ahli Parlimen DAP Batu Kawan, P Kasthuririaani pula mengulas isu sama.

Tak boleh diugut

Aktivis sosial K Sudhagaran Stanley meminta badan kehakiman mengkaji semula dan menghapuskan konsep penghinaan mahkamah.

"Tidak masuk akal - pada 2021 - bagi institusi untuk menilai komentar yang dibuat oleh panel hakim dari institusi yang sama. Ini tidak masuk akal dan tidak adil.

"Badan kehakiman tidak boleh bebas daripada kritikan dan pengawasan orang ramai dalam era masyarat menuntut kebertanggungjawaban dan ketelusan serta nilai yang mereka bayar untuk membiayai kerajaan sebuah negara.

"Paling penting, orang ramai harus bebas untuk meluahkan pandangan dan perasaan mereka, dan media juga tidak boleh diugut dalam apa cara sekali pun," katanya.

"Apa yang berlaku pada Malaysiakini hari ini adalah menindas," tambah Sudhagaran.

Melalui media sosial juga, wartawan Tehmina Kaoosji mengatakan kewartawanan bukanlah suatu kejahatan.

"Hai kawan-kawan! Ini adalah kebebasan media yang gelap di Malaysia. Mari kumpulkan dana bagi membantu @malaysiakini membayar denda RM500,000 ini pada Rabu depan," katanya.

Malaysiakini didenda RM500,000 oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas satu komen pembaca berhubung laporan disiarkan portal terbabit dianggap menghina mahkamah. 

Prosiding terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan dimulakan oleh Peguam Negara Idrus Harun.

Terdahulu sebelum tujuh hakim yang bersidang membuat keputusan, Jabatan Peguam Negara memohon Malaysiakini didenda sebanyak RM200,000.

Enam hakim bersependapat mendapati Malaysiakini bertanggungjawab atas penghinaan terhadap mahkamah menerusi komen pembaca manakala seorang lagi sebaliknya.

Malaysiakini memohon bantuan orang ramai untuk mengumpulkan RM500,000 setelah Mahkamah Persekutuan mensabitkan organisasi berita itu menghina mahkamah.

Ahli politik dan aktivis sosial memberi sokongan kepada Malaysiakini dengan tidak hanya menderma ke portal berita itu saja, tetapi turut mengajak orang ramai untuk melakukannya.

Mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini boleh melakukannya di:

Nama akaun: Mkini Dotcom Sdn Bhd

No akaun: 514253516714 (Maybank)

Kod Swift: MBBEMYKL

Alamat cawangan: Dataran Maybank, Menara A Tingkat 1, Dataran Maybank, 59000 Kuala Lumpur.

Sebagai alternatif, anda juga boleh menderma menggunakan kad kredit anda dengan menghubungi kami di +603 7770 0000.