Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Saya seorang 'sugar baby'

Pada usia 20 tahun, saya merupakan seorang pelajar di sebuah universiti antarabangsa kelas atasan di Subang Jaya. Hidup saya dikelilingi anak-anak orang kaya dan pelajar antarabangsa yang hidup mewah.

Saya berasakan diri saya tidak setaraf dan ketinggalan berbanding pelajar lain kerana pakaian saya masih pakaian yang sama dari sekolah menengah, bukan pakaian berjenama seperti yang dipakai mereka di sekitar kampus.

Elaun pelajar saya tidak banyak dan saya tidak bercadang mencari pekerjaan sambilan walaupun ia akan bermanfaat untuk saya dalam jangka masa panjang, berbanding keluar dengan lelaki kaya untuk menikmati hidangan mewah dan koktel di restoran hotel yang mahal.

Disebabkan tidak mampu menggunakan alat solek atau bergaya seperti rakan-rakan yang lain, saya secara serius mempertimbangkan idea mempunyai sugar daddy untuk menaikkan status saya yang ‘miskin’ itu.

Dengan memasuki (laman web) Seeking Arrangements, iaitu platform antarabangsa yang menghubungkan antara lelaki dan wanita yang berpendapatan tinggi dengan sugar babies, saya mendaftar dan tidak lama kemudian menerima tawaran daripada lelaki-lelaki yang inginkan gadis yang baru di situ.

Arrangement (pelanggan) pertama saya ialah seorang peniaga Amerika. Dia memberikan saya wang tunai yang bersamaan dengan AS$1,500 untuk bersamanya dua malam di sebuah hotel lima bintang ketika dia berada di ibu kota. Wang itu sangat membantu saya.

Saya masih baru dalam ‘permainan’ itu, jadi saya bertanya mengapa dia inginkan gadis yang berumur hanya 18 tahun, baru cukup umur.

“Sebabnya mereka masih ketat dan bergetah,” katanya sambil menyentuh tubuh saya.

Bayar tiap kali berjumpa

Pengalaman saya dalam sugar dating telah menjadi bertambah serius apabila saya mendedahkan diri saya dengan lelaki yang gemarkan hubungan zina dan pemangsa seksual.

Di sebalik pengalaman buruk, saya tetap berada di dalam ‘sugar bowl’ (laman web itu) setiap kali saya perlukan wang yang besar, sementara bersikap naif mempercayai kisah wanita yang menjalin hubungan jangka panjang dengan pasangan mereka dan memiliki rumah bernilai jutaan ringgit.

Sekiranya anda menggunakan platform temu janji sugar-dating, anda akan terbiasa dengan istilah, PPM iaitu pay per meet (bayar setiap kali bertemu)

PPM adalah seperti apa yang disangkakan oleh semua orang - seks berbayar setiap kali kami mengadakan pertemuan.

Polisi aplikasi Sugarbook berkeras untuk tidak menggunakan istilah seperti ‘pay per meet’. Tetapi di sebalik polisi itu, sebahagian besar pengguna yang terdiri daripada sugar daddy menggunakan istilah itu untuk berunding bagi perjumpaan seks berbayar.

Saya menerima teks daripada sugar daddies yang bertanya: "PPM?" dalam beberapa teks pertama perbualan.

Sugarbook dengan bangganya memberitahu, Malaysia mempunyai puluhan ribu sugar daddies. Saya tidak bersetuju. Aplikasi ini sebaliknya dipenuhi oleh lelaki biasa yang tidak mempunyai keintiman secara fizikal atupun romantis dan mendapati bahawa dengan membayar (untuk seks) jauh lebih mudah daripada melalui proses temu janji.

Ia bukanlah temu janji mewah seperti yang dijangkakan oleh orang di luar sana. Ia tidak melibatkan percintaan. Tiada intan permata, jambakan bunga, atau sejumlah cek yang besar. Hanya lelaki yang berhasrat untuk mencari seseorang yang sanggup melakukan hubungan seks dengan harga yang tidak mahal.

Dakwaan lain yang digunakan oleh pasukan Sugarbook untuk mempertahankan laman web mereka di mata masyarakat adalah platform itu memberi peluang kepada sugar babies untuk maju dalam karier mereka dengan menjalinkan hubungan bersama lelaki yang berjaya dan berprofil tinggi.

Memang mudah terpedaya

Saya mendapati dakwaan sebegini adalah berlebihan kerana sugar daddies selalunya tidak mendedahkan identiti mereka. Nama akhir mereka biasanya tidak diletakkan dan butiran seperti tempat kerja juga dirahsiakan kerana dikhuatiri akan berlaku ugutan dan/atau diburu oleh sugar babies.

Hal sebegini menimbulkan pelbagai masalah, termasuk penipuan dan serangan seksual. Apabila nombor telefon dan nama akhir mereka tidak dinyatakan, sukar bagi kedua-dua pihak untuk dipertanggungjawabkan secara sah sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Saya telah ditipu beberapa kali. Saya akan melakukan hubungan seksual dengan sugar dadies dan mereka tidak mempunyai ‘elaun’ yang dipersetujui untuk saya ketika saya memintanya.

Saya tidak mempunyai jalan untuk mendapatkan wang yang tidak dibayar kerana ia bukanlah perkhidmatan yang sah untuk membolehkan saya membuat aduan rasmi.

Dalam kes seperti itu, laporan boleh dihantar ke platform sugar-dating. Namun, tindakan yang dilakukan tidak lebih daripada menyekat pelakunya daripada menggunakan laman web itu.

Pada masa sama, platform itu tidak mempunyai pembelaan untuk sugar daddies yang mengirim wang kepada sugar babies yang akhirnya tidak muncul untuk temu janji, atau sugar babies yang mempunyai pengalaman yang mengerikan.

Atas sebab berkenaan serta alasan lain, saya bimbang terdapat kenaikan jumlah sugar babies secara tiba-tiba, yang masih di kolej dan mudah terpedaya, terdedah kepada paksaan seksual, grooming dan dibuli secara kewangan.

Sebagai sugar baby, saya dapat mengakui bahawa sebahagian besarnya, ia tidak lebih daripada cara untuk melakukan pekerjaan seks secara bebas tanpa dipayung bapa ayam atau perniagaan dari rumah pelacuran yang boleh dipercayai.

Wang yang saya kumpulkan daripada temu janji saya sepanjang lima tahun memberikan saya keuntungan yang ketara tetapi ia juga membuatkan saya terbantut untuk mencari wang sendiri.

Seperti urus niaga dadah, wang segera dan mudah secara tidak langsung membuatkan usaha mendapatkan wang dengan cara sah menjadi kurang lumayan dan sukar.

Saya tidak mahu peduli dengan apa yang dilakukan oleh dua orang dewasa secara sukarela berada di tempat yang tertutup, tapi saya secara peribadi tidak bersetuju wanita di bawah umur 25 tahun berkecimpung dengan temu janji sebegini.

Kepada ibu bapa yang ingin melindungi anak perempuan mereka daripada eksploitasi seperti itu, nasihat saya ialah: beri peluang kepada anak-anak anda untuk menjana pendapatan sendiri sejak usia muda.

Berdikari akan mengurangkan sikap kebergantungan kepada orang lain, apalagi daripada sugar daddy, untuk memenuhi keperluan kewangan dan barangan material mereka sendiri.


Penulis artikel ini enggan mendedahkan identitinya dan kami menghormati pendirian berkenaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

[Baca berita asal]