ULASAN | Yang mana lebih layak, menteri atau model?
Alangkah lucunya negara kita kini. Macam-macam cerita yang tidak enak tentang pemimpin yang memerintah didengar dan dapat disaksikan. Walau bukan semua, namun kerana sedikit itulah terpalit mencemarkan amanah yang terpikul.
Bukanlah hendak memukul rata dengan apa yang terjadi ini, akan tetapi saya mengajak sekalian rakyat meneruskan #HerdikanRakyat ini, agar segalanya itu tidak berterusan menjadi lelucon.
Ketika ini rakyat bergelumang dengan keadaan yang sangat mencabar dengan ketidakstabilan kewangan diri dan pendapatan keluarga, pembelajaran yang ‘sedu-sedan’, kekurangan bekalan makanan, masalah sosial, kes bunuh anak, penderaan, isu wanita dan pelbagai lagi.
Pada masa yang sama, boleh pula menteri yang berkaitan tidak ‘sigap’ bangkit menghulurkan bantuan mahupun sokongan yang sewajarnya atau paling tidak mnegeluarkan kenyataan berkaitan isu yang terjadi.
Situasi pendemik masih belum reda. Angka-angka besar masih kelihatan. Petugas barisan hadapan sedang berjuang mati-matian dengan situasi ini. Dan rakyat pun mengawal diri untuk tidak keluar sesuka hati. Dan pemimpin negara pedulikah semua ini?
Apa sudah jadi?
Kita semua perlu sedari, tugas seorang pemimpin bukanlah mudah. Tugas terhadap rakyat juga janganlah diambil mudah dan dipandang enteng oleh pemimpin. Segalanya saling berperanan untuk kemajuan dan kemakmuran negara.
Mampukah negara kita mencapai sifar masalah kemiskinan atau mencapai kosong isu sosial? Jika tanggungjawab itu tidak terus diperhatikan dan diambil berat oleh pihak yang memimpin, adakah rakyat hanya dibenar menyaksikan segala kebobrokan dan patut membisu dengan yang terjadi dalam negara ini?
Jawapan yang jelas, wajarlah kalian berundur daripada terus berada pada tampuk pimpinan di atas itu, kerana tugas tersebut selayaknya diduduki oleh mereka yang berintegriti dan mempunyai kompetensi untuk memikul amanah besar itu.
Tertarik saya membaca status Facebook Che Asmah Ibrahim dua hari lepas.
“Macam tak percaya apa yang saya lihat. Bukan terpukau dengan kecantikan YB menteri tetapi terkedu bila pejabat menteri dijadikan studio penggambaran fesyen dan YB menteri pula sudah menjadi model.”
Pada status tersebut beliau turut berkongsi kisah sewaktu dirinya menjadi ketua Yayasan Kebajikan Negara.
“Satu ketika dahulu pejabat di tingkat 38 yang indah ini sibuk dengan segala urusan rakyat. YB menteri terlibat dalam perbincangan pembentukan pelbagai polisi dan undang- undang bagi menjaga nasib wanita Malaysia, keluarga, kanak- kanak dan masyarakat.”
Tambah beliau lagi, satu lepas satu mesyuarat dan perbincangan dibuat oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan).
"Beratur kami di luar menunggu giliran dipanggil untuk memberi maklum balas hal ehwal rakyat."
“Tidak kusangka pejabat yang sama telah menjadi studio model meraga pakaian raya 2021, mungkin.”
Status tersebut telah mendapat 1,500 komentar yang pelbagai daripada masyarakat dan sebanyak 3,400 yang kongsikan setakat 11.30 pagi hari ini (16 Februari 2021).
Beberapa foto menteri itu mula tular beberapa hari lalu berikutan sesi penggambaran itu diambil berlatarbelakangkan pejabat menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di Putrajaya.
Menerusi status itu juga, rata-rata komentar netizen menzahirkan rasa sangat geram dan marah dengan apa yang dilakukan menteri yang juga wakil rakyat Parlimen Titiwangsa itu.
Sedarlah peringatan ini
Takut dan sedarlah kita akan peringatan Nabi SAW:
"Jika amanah telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi." Ada seorang sahabat bertanya: “Bagaimana maksud amanah disia-siakan?” Nabi menjawab: "Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu." (Hadis Riwayat Bukhari)
Barangkali YB menteri ini kehilangan fokus utama sebagai ahli parlimen atau wakil rakyat. Apa lagi, amat sedikit isu-isu keluarga, kanak-kanak dan masyarakat berjaya ditanganinya semenjak memegang jawatan menteri tersebut.
Tanggungjawab yang diamanahkan, diabaikan setelah berubah penampilan. Adakah itu perkara remeh yang perlu dibisukan?
Keperitan ini dirasai rakyat. Bukan mempertikaikan menteri yang nak kelihatan cantik atau bergaya, tetapi penyalahgunaan tempat dan kepeduliannya dengan isu yang terjadi di bawah kementeriannya wajib dipersoalkan.
Topik hangat yang belum ada kesudahan sehingga hari ini iaitu sugar daddy, apa maklum balas pihak kementeriannya? Ini soal wanita, soal anak muda. Kenapa tiada penjelasan oleh pihaknya?
Teruskan suara-suara kita
Sebagai rakyat, #HerdikanRakyat seharusnya diteruskan sehingga suara-suara yang benar itu mendapat maklum balas yang sepatutnya daripada pihak berkenaan.
Sewajarnya yang jadi pemimpin itu sedar, insaf dan mengakui kesalahan diri. Atau jika dirinya berjiwa besar, letaklah jawatan, berikan kepada yang selayaknya dan bolehlah jalankan tugas sebagai seorang model, jika itu yang menjadi keinginan dirinya.
Hati rakyat sangat terluka apabila menteri sewenangnya mengabaikan mereka. Pada saat rakyat Malaysia ingin melihat negara dipimpin oleh mereka yang punya kredibiliti, integriti dan kompetensi, kita dihidangkan dengan ‘layar’ yang kurang enak dilihat.
Selain itu, ayuhlah kita doakan negara ini segera dipimpin oleh insan-insan yang berjiwa rabbani dengan qudwah (teladan) kepimpinan Nabi SAW.
Masih ingatkah kita dengan kata-kata ini, “Suara rakyat suara keramat”? Ya, tentunya masih belum terlambat untuk kita bersuara, bangkit dan berusaha mencapai sebuah negara rahmah yang makmur, progresif serta diredai dan diampuni Tuhan, baldatun thoyyibatun warabbun ghofur.
ATRIZA UMAR berkhidmat di Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan Ikram Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai