Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Uncle Kentang beri amaran penipuan di media sosial

Aktivis masyarakat yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng memberi amaran kepada warga maya supaya tidak menjadi mangsa penipuan kepada kenalan baru menerusi media sosial.

Kuan atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata bahawa dia menerima banyak aduan mengenai kes penipuan.

"Jangan terperangkap, tolong... saya terima banyak aduan mengenai kes penipuan di internet. Tolong jangan jadi mangsa," katanya dalam satu hantaran  Facebook sempena hari jadinya hari ini.

Dia turut berkongsi pengalaman pahit seorang pegawai akaun berusia 23 tahun yang menjadi mangsa penipuan.

Menurutnya, lelaki itu berasal dari Puchong mengenali seorang perempuan berusia 22 tahun melalui Facebook.

"Satu malam, perempuan ini menelefon lelaki itu. Katanya, gaduh dengan emak. Pergi tidur hotel bersendirian di Seri Petaling.

"Mengajak lelaki ini datang. Katanya, dia berasa sunyi dan ingin mengadakan hubungan seks dengannya. Minta, siap beli kondom di 7-Eleven.

"Lepas itu, perempuan telefon lagi. Suruh lelaki itu menghantar gambar bogel kerana takut ada penyakit. Maka, lelaki itu hantar gambar tanpa pakaian.

"Namun, setelah sampai ke hotel, lelaki itu mendapati bahawa dirinya ditipu selepas mendapati nombor bilik yang diberitahunya tidak ada.

"Menelefon semula perempuan itu, dia kena ugut RM3,000 untuk tidak siarkan gambar.

"Takut kerana malu., lelaki tersebut telah masukkan RM3,000.... esok minta lagi RM,4000 tapi lelaki itu bagi RM2,000 dan kes sampai ke saya kerana lelaki itu malu dan takut ibu bapa akan mengetahuinya.

"Aku kata kepada lelaki itu supaya tidak perlu layan dia lagi. Scammer tak akan siarkan gambar kau. Dia akan sibuk pancing lelaki lain lagi," katanya.

Kuan turut berkata bahawa ramai remaja terperangkap penipuan seumpamanya.

"Malah, pernah bos GLC (syarikat berkaitan kerajaan) pun terperangkap dan rugi kerana tunjuk gambar bogel pada kawan yang dikenali melalui Facebook," katanya.