Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Kerajaan perlu terus progresif banteras kluster tempat kerja

KATA MP | Saya menyambut baik perkembangan yang diumumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) baru-baru ini. Menurut menterinya Fadillah Yusof, sebanyak 15 tapak binaan diarah tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) setakat 15 Feb lalu.

Tindakan mengeluarkan notis berhenti kerja terhadap 15 tapak terbabit kerana didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu adalah wajar dengan mengambil kira kadar penularan wabak Covid-19 dalam kluster tapak binaan yang sangat membimbangkan.

Tambahan lagi, kemungkinan penularan dalam masyarakat awam dari kluster itu adalah tinggi memandangkan lokasi tapak binaan dan penempatan pekerja yang berdekatan dengan tempat awam.

Untuk rekod, sejak 20 Sept 2020 hingga 12 Feb tahun ini, 61.85 peratus daripada 852 kluster di negara ini ialah kluster tempat kerja.

Namun, saya menyeru agar kerajaan terus serius menangani kewujudan kluster baru melibatkan tapak binaan dan tempat kerja. Kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri wajib memainkan peranan lebih tangkas.

Dengan tindakan terbaru ini, timbul persoalan kepada apa perlunya kuasa di bawah perintah darurat untuk meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri pada 4 Feb lalu sedangkan CIDB boleh mengarahkan penutupan tapak binaan?

Jika pun pindaan akta akan dilakukan (tanpa parlimen bersidang) di bawah kuasa perintah darurat, mengapa akta belum dipinda hingga sekarang setelah lebih sebulan perintah darurat berkuat kuasa? Di mana tindakan kesegeraannya?

Seperti yang disarankan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar, tindakan tegas, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang harus dipraktikkan.

Menurutnya faktor majikan yang memikirkan keuntungan tanpa mempedulikan kesihatan dan keselamatan pekerja menjadi antara punca penularan Covid-19 tidak dapat dikekang.

Sebagai contoh krisis penularan wabak Covid-19 di Kilang Top Glove yang pernah menjadi penyumbang terbesar pada kes positif Covid-19 wajar diberi perhatian.

Masih wujud banyak majikan sektor perkilangan dan tempat kerja yang tidak menitikberatkan prosedur pematuhan SOP di tempat kerja. Umum memahami keperluan pembukaan sektor perkhidmatan dan penghasilan, namun langkah pencegahan dan SOP wajib digariskan dengan kemas dan jelas.

Saya percaya, sekiranya anggota kabinet dan timbalan-timbalan menteri benar-benar memikirkan soal kebajikan rakyat serta hala tuju negara berbanding bermain politik dan kuasa, banyak ruang dan jalan yang wajar dirintis.

Kaedah dan panduan dari negara yang berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 harus dilazimi.


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah ahli parlimen Ledang merangkap pengerusi PKR Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.