Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Obses ranking, tekanan capai KPI' - Ahli akademik ulas isu jurnal meragukan

Sesetengah pensyarah dan profesor di Malaysia membayar jurnal akademik yang meragukan agar kajian mereka dapat diterbitkan, dia amalan ini akhirnya akan menjejaskan reputasi universiti di negara ini secarara keseluruhan, menurut beberapa ahli akademik.

Terdahulu, dua ahli ekonomi Republic Czech, Vit Machacek and Martin Srholec membuat kajian berkenaan kemasukan jurnal akademik seumpama itu (predatory journal) dalam pengkalan data pemetikan, Scopus, sepanjang tempoh 2015 hingga 2017.

Dalam kajian melibatkan 172 negara dan empat bidang - iaitu sains kesihatan, sains hayat, sains fizikal dan sains sosial - Malaysia berada di tangga kelima dalam kencedurangan menerbitkan kajian dalam jurnal tersebut.

Ia menunjukkan sesetengah ahli akademik mengambil jalan pintas untuk dinaikkan kedudukan ke profesor madya dan profesor.

"Ini bukan perkara baru. Kita perlu melihat akar permasalahannya," kata pensyarah dari Universiti Mahsa, Dr Mohamad Hussain Habil kepada Malaysiakini.

Dia berkata, tekanan untuk profesor dan pensyarah menerbitkan kajian memang tinggi dan jurnal berwibawa hanya menerbitkan kajian yang besar dan penemuan penting.

"Ketika saya di Universiti Malaya, mantranya adalah ‘to publish or perish’. Jadi ada persaingan sengit dan apabila orang di bawah tekanan, mereka cari jalan pintas," katanya lagi.

Katanya lagi, masalah ini juga berkatan "bekalan dan permintaan", dengan sesetengah pihak tahu ada permintaan sebegini di kalangan ahli akademik dan mengenakan bayaran sehingga AS$1,000 untuk menerbitkan artikel mereka.

"Objektif kajian adalah untuk menambahkan pemahaman saintifik, tetapi apa gunanya artikel yang penuh dengan kesilapan, misalnya statistik yang dimanipulasi untuk mendapatkan kesimpulan palsu," katanya lagi.

Mohamad Hussain berkata, kini sukar untuk menyembunyikan perkara itu. "Pergi saja ke Google Scholar dan ia dapat ditemukan."

"Ketika saya bermula dulu, tiada jurnal seumpama ini. Ia hanya wujud selepas universiti begitu bimbang dengan ranking, tak lebih 15 tahun lalu," katanya lagi.

Dalam kajian itu, sejumlah 324 jurnal meragukan didapati telah menembusi Scopus, sebuah pangkalan data pemetikan yang merangkumi 30,000 jurnal dalam bidang sains kesihatan, sains hayat, sains fizikal dan sains sosial.

Kazakhstan berada di kedudukan pertama, dengan 17 peratus artikel seumpama itu, disusuli dengan Indonesia, Iraq, Albania dan Malaysia.

P Kalamanathan, timbalan menteri pendidikan ketika tempoh kajian tersebut dibuat, berkata Kementerian Pendidikan Tinggi perlu menyiasaat dakwaan tersebut.

"Mereka perlu sahkan kebenarannya dan jika ada kesalahan, saya pasti mereka akan ambil tindakan tegas," katanya kepada Malaysiakini.

Cerminan sistem korup

Penerusi Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) Prof Zaharom Nain menyifatkannya sebagai menyedihkan dan cerminan satu sistem yang korup, di dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa.

"Soal pendidikan tinggi dan kajian - di Malaysia dan negara lain - telah menjadi sebahagian daripada amalan memperalatkan sistem yang mengutamakan kedudukan dan rating.

"Tarikan dan prestij universiti anda akan meningkat bila kedudukannya dalam ranking tinggi. Kemasukan pelajar meningkat, begitu juga dengan fakulti yang bermutu, yang membawa kepada penambahan pendapatan untuk berjaya dalam sistem neo-liberal ini," katanya.

Pada masa sama, Zaharom berkata terdapat ramai ahli akademik yang bagus dan jujur dalam universiti di Malaysia, dengan sebahagiannya mencapai taraf antarabangsa.

"Tetapi ada juga yang ditekan untuk mencapai KPI, seringkali oleh pentadbir universiti yang mahu memperalatkan sistem yang mahu mengkuantitikan (quantify) hasil kencediakawanan, yang selalunya mengorbankan mutunya," katanya.

Katanya lagi, ada juga yang memang tidak layak untuk menjadi profesor atau pensyarah.

"Gabungkan semua ini - kepimpinan yang dipolitikkan, pentadbiran yang percaya mereka perlu 'menurut perintah' dan ahli akademik yang tak tahu apa-apa (clueless) dan langsung tiada etos perkhidmatan awam dan hanya mahu mendaki kedudukan dalam universiti - maka jadilah keadaan menyedihkan seperti sekarang." katanya.

Bekas pensyarah University of Nottingham Malaysia Malachi Edwin Vethamani pula menggesa ahli akademik agar berhati-hati ketika memilih tempat untuk menerbitkan kerja mereka.

"Memang ada banyak tekanan untuk memenuhi KPI dalam menerbitkan kajian.

"Beberapa tahun ini, ada banyak maklumat berkenaan jurnal seperti ini dan ahli akademik perlu buat penelitian terhadap penerbit sebelum menghantar kerja mereka," katanya.

Seorang lagi bekas pensyarah Universiti Malaya menyifatkan pendedahan itu bukan sesuatu yang mengejutkan, apatah lagi dengan obsesnya universiti dengan ranking mereka.

Dia yang enggan dinamakan turut membangkitkan amalan lain, antaranya memaksa pelajar PhD untuk memasukkan nama pensyarah sebagai penulis bersama dalam artikel jurnal mereka.

"Ini mungkin amalan biasa dalam bidang sains tulen, tetapid alam sains sosial, ia sangat tidak beretika," katanya kepada Malaysiakini.

Nafi penekanan untuk terbitkan kajian

Bagaimanapun Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Nor Aieni Mokhtar berkata penerbitan dalam jurnal bukan kriteria utama untuk kenaikan sebagai profesor atau profesor madya.

Mengulas kajian tersebut, Nor Aieni berkata kriteria lain yang turut diambil kira termasuk amanah pengajaran, penyelidikan, penerbitan buku dan artikel jurnal terindeks, pemindahan ilmu serta kepimpinan akademik dan pengurusan.

Katanya lagi, permohonan kenaikan pangkat yang dikemukakan oleh ahli akademik UMT melalui pelbagai proses saringan ketat untuk memenuhi syarat kecemerlangan akademik yang telah diperakukan oleh Senat dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah Universiti sebagai pihak berkuasa tertinggi di universiti.

"Calon perlu mengemukakan permohonan melalui Dekan, pengarah institut atau pusat masing-masing dan jika ia disokong oleh ketua jabatan berkenaan, suatu jawatankuasa yang dianggotai oleh profesor di peringkat fakulti, pusat atau institut itu akan menapis dan menilai kewajaran permohonan calon.

"Sekiranya calon gagal melepasi saringan dalaman ini, permohonan tidak akan dipanjangkan kepada jawatankuasa penapis di peringkat universiti. Namun, apabila permohonan dibawa ke jawatankuasa penapis di peringkat universiti, ia akan disaring dan dinilai oleh jawatankuasa yang dianggotai antaranya oleh ahli Senat yang bertaraf profesor," katanya dalam kenyataan semalam.

[Baca berita asal]