Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PM lancar dasar 'perpaduan dalam kepelbagaian'

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas dan kohesif, demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya.

Muhyiddin berkata Dasar Perpaduan Negara yang berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian itu menetapkan strategi jangka panjang dalam usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.

Tiga objektif utama yang ditetapkan dalam dasar ini adalah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

“Kerajaan amat menyedari akan hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara, maka ‘Perpaduan dalam kepelbagaian’ yang berteraskan ‘model integrasi’ inilah yang kita hasratkan untuk rakyat Malaysia.

“Ini kerana berdasarkan sejarah, kita rakyat Malaysia telah menerima hakikat bahawa masyarakat negara ini adalah majmuk dan pelbagai latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa dan budaya,” katanya semasa melancarkan Dasar Perpaduan dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030-2030 secara maya menerusi Facebook Kementerian Perpaduan Negara.

- Bernama