Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ancam lapor polis, MP beri 24 jam untuk Annuar minta maaf

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa tindakan tegas diambil terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP), setelah gambarnya makan bersama enam individu lain di dua meja disebarkan di media sosial.

Lim juga memberi tempoh 24 jam kepada Annuar untuk memohon maaf atas perkara itu.

"Saya beri tempoh 24 jam untuk dia memohon maaf atas perbuatannya itu.

"Jika tiada respons daripadanya, saya akan laporkan kes ini kepada polis dan mendesak tindakan yang sewajarnya dikenakan ke atasnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lim, ini bukan kali pertama Annuar didakwa melanggar SOP. Sebelum ini, dia memuat naik gambar dia beriadah bersama dua individu lain, ketika kegiatan luar lebih daripada dua invididu dilarang.

"Anehnya, tiada tindakan undang-undang ke atasnya kerana pertemuan (dengan dua individu itu) disifatkan berlaku secara kebetulan," katanya, menambah ia bertentangan dengan ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa tiada dwistandard dalam penguatkuasaan peraturan berkaitan Covid-19.

Dalam kontroversi terbaru ini, gambar yang tersebar memaparkan sepanduk menyambut Annuar ke majlis program pertanian bandar bertarikh semalam.

Semalam, Annuar menjelaskan dia cuma duduk sebentar sebelum beredar kerana melihat ia melanggar peraturan yang ditetapkan.

Hari ini, Kelab Pencinta Alam Kolam Takungan Banjir Sungai Midah, yang merupakan penganjur program, mengakui kegagalan mematuhi SOP dan memohon maaf kepada Annuar serta orang ramai.

"Bila Tan Sri (Annuar Musa) datang kita jemput dia minum di pondok kebun pertanian dalam bandar kita, itu pun sekejap saja. Tan Sri dah ingatkan (gambar tak patuh SOP) nanti akan tular, sebab itu dia cepat-cepat berlalu," kata pengerusinya, Zainuddin Amran.

Berdasarkan SOP semasa, makan bersama dibenarkan, tetapi terhad kepada dua orang bagi setiap meja serta dengan jarak satu meter.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub mempersoalkan tindakan menteri berkenaan dakwaan pelanggaran SOP oleh menteri.

"Perdana menteri buat apa bila menteri-menteri langgar SOP? Setiap hari terpekik minta rakyat patuh SOP, kerajaan apa ini?

"Cukup-cukuplah memperhambakan rakyat dengan SOP yang semakin bercelaru," katanya di Twitter.