Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP Klang: Vaksin percuma tak selesai krisis pendatang tanpa izin

Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago menyambut baik usaha kerajaan untuk menyediakan vaksin Covid-19 percuma kepada pendatang asing tanpa izin (Pati).

Bagaimanapun, dia menyatakan terdapat hal-hal lebih penting berhubung komuniti itu yang patut diselesaikan.

“Ini masalah serius yang tidak wajar diabaikan oleh kerajaan. Ia perlu strategi yang diteliti untuk menangani fakta bahawa terdapat anggaran 3.5 juta pendatang tanpa dokumen yang berada di Malaysia berbanding yang sah hanya 1.5 ke 2 juta orang.

“Terdapat penghijrahan komuniti besar-besaran dan jika kita tidak menyelesaikan perkara ini sebelum pemberian vaksin, kita dengan mudah akan mengalami situasi rancangan imuniti kelompok digagalkan kerana hal itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Charles turut mengulangi gesaannya supaya kerajaan memberikan pengampunan penuh kepada pendatang tanpa dokumen dan majikan mereka.

Dia berkata demikian selepas Jabatan Imigresen menahan ramai Pati tahun lalu meskipun menjanjikan tiada tindakan akan diambil jika mereka tampil untuk diuji.

“Dalam kes di Thailand, mereka mendokumenkan (izin) terhadap pendatang ini. Sekarang, mereka sangat besar dan tidak dikendalikan sama sekali.

“Bagus mereka membayar untuk vaksin tetapi tanpa pengampunan, mereka tidak akan keluar dan ini menggagalkan tujuan imunisasi tersebut..

“Pendatang tanpa dokumen berada di luar ekosistem yang kita miliki tetapi kemudian mereka boleh menyebabkan kerosakan. Sekiranya kita tidak dapat mencapai imunisasi kelompok, mereka mungkin menjadi faktor di dalamnya," katanya.

Jelasnya, terdapat keperluan mendadak supaya kabinet melaksanakan pengampunan penuh tersebut.

Charles (gambar, bawah) berkata majikan juga sedang menunggu dan melihat sama ada kerajaan akan menyelesaikan perkara tersebut secara sistematik atau tidak.

“Kerajaan kena usaha secepat mungkin melihat keadaan sekarang, pekerja yang sudah disahkan positif Covid-19 dihantar balik ke hostel yang sama tanpa penjarakan fizikal.

“Saya jumpa kes di Klang, dengan sembilan pekerja pendatang tanpa dokumen yang semuanya positif bersebelahan pekerja yang negatif,” kata Charles.

Tambahnya, gambar tular yang memaparkan katil kawasan kuarantin dan pekerja menunjukkan tiada penjarakan fizikal.

Perkasa kerajaan tempatan

Sementara itu, Charles mencadangkan supaya menyerahkan kepada kerajaan untuk mengawasi pengurusan pesakit jika terdapat pekerja yang dijangkiti dalam syarikat.

“Ia patut dilakukan pada peringkat kerajaan tempatan.

“Kerajaan patut mewujudkan pasukan petugas khas yang diketuai majlis tempatan yang melibatkan majikan dan kumpulan profesional termasuk NGO untuk membantu merancang, memantau dan melaksanakan proses ujian serta pemulihan Covid-19 dalam bidang kuasa majlis berkenaan," tambahnya.

Meskipun kini kerajaan tempatan turut serta melakukan serbuan dengan pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM), Charles percaya mereka boleh memainkan peranan lebih besar melihat keadaan Kementerian Kesihatan yang tidak cukup kakitangan.

“Kerajaan tempatan akan tahu hotel mana yang akan tutup atau berdepan kesukaran. Mereka boleh menggunakan kuasa untuk meletakkan pekerja positif di sana.

“Mereka mesti diberi kuasa untuk menangani pengurusan pesakit semasa kuaratin," katanya.

Cadangan-cadangan utama

Melihat keadaan genting untuk menangani wabak, Charles turut menggesa mempercepatkan pembinaan asrama pekerja dengan kemungkinan mendapat kelulusan segera.

“Jika syarikat melalui proses normal seperti mengemukakan pelan bangunan, ia akan ambil masa setahun untuk lulus.

"Kerja pembinaan pula akan ambil masa tiga bulan, Sijil Penyempurnaan dan Pematuhan pula boleh makan masa enam bulan lagi, jadi mungkin dua tahun,” jelasnya.

Pun begitu, jelas Charles pembinaan hostel bagi pekerja mungkin tidak boleh dibiayai oleh syarikat perusahaan sederhana kecil (PKS).

“Faktor lain adalah syarikat besar mampu tapi PKS tak mampu.

“Untuk ini, kerajaan termasuk kerajaan negeri wajar membina asrama tersebut dan menyewakannya kepada PKS yang tidak mampu membina asrama pekerja syarikat sendiri.

“Ini juga memberi kuasa kepada kerajaan untuk membuat pengawasan secukupnya dan memastikan pematuhan aspek kebersihan dan keselamatan,” katanya. 

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.