Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Isu sebenar adalah jurang kelas sosial

ULASAN | Pandemik Covid-19 mengajar kita banyak perkara, termasuk semangat kekitaan yang muncul dalam waktu-waktu yang sukar. Malaysia bukanlah negara yang sempurna, tapi sejak dahulu lagi kita terkenal sebagai negara berbilang kaum yang mampu hidup dalam keadaan harmoni. Kedatangan pandemik di Malaysia memberikan kita satu pengajaran baru – isu rasisme di Malaysia sebenarnya ditunjangi oleh permasalahan kelas sosial yang menjadikan rakyat ada darjat yang berbeza.

Saya tidak menafikan wujudnya perpecahan berasaskan kaum, cuma diskriminasi berasaskan kelas ini merupakan hal yang lebih kronik. Kita ada golongan kayangan yang selalunya sukar memahami nasib kelas pekerja yang terkesan akibat pandemik. Malangnya, kelas kayangan (elit) selalunya menjadi pemegang taruh terbesar dalam pembinaan dasar negara; disebabkan hal ini dasar-dasar kerajaan sering memberi keuntungan kepada mereka.

Sekiranya kita melihat semangat yang ditonjolkan oleh rakyat Malaysia sepanjang pandemik, kita dapati semangat tolong-menolong tanpa mengira kaum berlaku dengan rancak. Kita menghulurkan bantuan semampunya pada sesiapa yang berada dalam kesusahan tanpa mengira kaum.

Masyarakat yang hidup dalam kelas yang sama memahami kesukaran yang dihadapi dan tahu bentuk bantuan sebenar yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Saya masih ingat video tular beberapa minggu lepas – yang menunjukkan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum cuba menyelamatkan anjing yang tersepit di tepi jalan. Walaupun ia bukan contoh terbaik dalam memberi gambaran kesatuan rakyat ketika pandemik, ia tetap menghantar mesej keharmonian yang kuat.

Sebaliknya apa yang berlaku ketika pandemik ini adalah golongan kayangan yang kurang terkesan akibat pandemik. Bagi golongan kayangan, kesukaran ketika pandemik adalah penurunan keuntungan syarikat; bagi marhaen, kesukaran adalah tidak dapat bekalan makanan. Sudah tentu kesukaran ini akan diuruskan dengan cara yang berbeza.

Kompaun maksimum RM1,000 yang dikenakan sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP) turut memiliki nilai yang berbeza. Bagi kelas kayangan ia umpama duit kopi, bagi kelas pekerja ia adalah belanja bulanan. Disebabkan hal ini kita melihat ramai golongan kayangan yang sambil lewa dalam pematuhan SOP, lebih-lebih lagi ahli politik yang merasakan diri mereka sudah cukup berkuasa.

Isu perpecahan berdasarkan kaum sering dinyanyikan oleh ahli politik kerana ia sentiasa memberi keuntungan kepada kelas kayangan. Apabila kelas pekerja bergaduh sesama mereka, maka kesatuan dalam kalangan pekerja hampir mustahil akan berlaku. Rakyat dari kelas pekerja harus berganding bahu tanpa mengira kaum, agama, dan ideologi untuk memastikan golongan kayangan tidak menjadi punca kesusahan mereka.

Jika gerakan kesatuan ini dapat dilaksanakan, sudah tentu ia mampu untuk mendesak kerajaan memperkenalkan gaji wajar di Malaysia. Semangat kita jaga kita harus diteruskan di luar konteks pandemik; ia harus dijadikan cara hidup jika kita mahu Malaysia bergerak lebih jauh ke hadapan.

Mari kita semak semula apa yang berlaku pada tahun lepas. Pada bulan Jun-Ogos 2020, rakyat Malaysia telah menang melawan Covid-19, hasil daripada usaha keras yang kita lakukan untuk membendungnya. Kemudian apa yang terjadi? Pihak kayangan mengambil keputusan untuk melakukan pilihan raya menyebabkan kes di Sabah meningkat mendadak, dan ada pengecualian SOP berlaku untuk memberi kesenangan kepada ahli politik.

Harga daripada insiden ini kita masih bayar sehingga ke hari ini. Siapa yang menerima kesan terbesar daripada aksi-aksi golongan kayangan ini? Sudah tentu rakyat. Kini di saat perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan semula – lihatlah betapa ramai rakyat yang sedang resah kerana kehilangan punca pendapatan.

Menjelang pilihan raya akan datang, saya berharap kita harus berhati-hati dengan ahli politik yang menggunakan rasisme sebagai bahan kempen. Kita harus bertanya kepada mereka, siapa sebenarnya yang rasis dan mendiskriminasi? Adakah kita sesama rakyat, atau golongan kayangan yang selalu membebankan golongan pekerja?

Ketika krisis ahli-ahli politik mendapat gaji penuh walaupun mereka adalah punca masalah. Rakyat biasa yang telah menang melawan Covid-19 pula yang perlu membayar harga ketamakan mereka. Marilah kita bersatu dalam semangat kita jaga kita untuk menentang kedangkalan golongan elit.


RAHMAN IMUDA adalah penulis dan aktivis buruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.