Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Raja Muda Perlis nasihat mualaf: Beza agama tak pisah ikatan keluarga

Hubungan erat sesama ahli keluarga harus terus dikekalkan walaupun berbeza agama dan kepercayaan, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, elemen kekeluargaan merupakan ikatan yang paling kuat dalam memperteguhkan perpaduan nasional.

“Semua rakyat perlu mengamalkan hidup harmoni dengan sentiasa mempraktikkan mencari persamaan dan menjauhi perbezaan.

“Seperti ungkapan Bahasa Inggeris ‘Agree To Disagree’, dengan menghormati perbezaan sesama kita namun pada masa yang sama menyampaikan kebenaran, bertoleransi tanpa menggadaikan prinsip agama, serta memahami sensitiviti agama dan kaum yang lain,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.

Kenyataan tersebut menyebut Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menyantuni saudara baru muallaf Harun Abdullah, 34, di Rumah Makan Warisan Khatreena Arau.

Harun memeluk Islam pada Julai lalu, merupakan seorang berbangsa Tionghua dan mula tertarik dengan Islam sejak di bangku sekolah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan ‘angpau’ selain turut memberikan galakkan kepada Harun untuk turut serta menyertai Program Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf MAIPs, di bawah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

- Bernama