Syed Saddiq buka rumahnya, tumpangkan warga emas hidup daif
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menumpangkan seorang warga emas yang hidup dalam kedaifan di kawasan yang diwakilinya itu.
Saddiq berkata lelaki berusia 59 tahun dikenali sebagai Pakcik Hashim tinggal di "rumah yang uzur dan usang" sejak lebih enam bulan lalu.
"Dinding rumah sudah dimakan anai-anai. Tangga rumah sudah patah dua. Atap pun sudah bocor dan kalau hujan, rumahnya sudah tidak lagi boleh jadi tempat berteduh.
"Bila saya sampai dalam pukul empat petang tadi, memang rasa sedih.
"Pertama, ini tanggungjawab saya menjaga kebajikan Pakcik Hashim. Kedua, masih ada lagi penduduk yang tinggal di rumah yang begini uzur pada tahun 2021.
"Jadi, saya dan Pejabat Parlimen Muar bantu kemaskan pakaian Pakcik Hashim dan saya bawa Pakcik Hashim tumpang berteduh di rumah saya buat sementara waktu di Parit Unas.
"Basikal baru saya beli. Saya beri ruang untuk Pakcik Hashim mandi dan berehat di rumah saya sementara kami cari tempat tinggal sementara untuk Pakcik Hashim," katanya.
Saddiq berkata warga emas berkenaan pada masa ini menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, kerana dia tidak dapat bekerja.
Bagaimanapun, dia masih menunggu bantuan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Baitulmal.
"Saya ingin merayu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk meluluskan permohonan beliau untuk bina baharu rumah di atas tanah warisan yang sedang didiaminya melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Lagi lama kita tangguh, lagi berat beban yang ditanggung Pakcik Hashim," katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata akan menumpangkan Pakcik Hashim tinggal di rumahnya sementara urusan rumah jagaan disegerakan.
Dia berharap sumbangan orang ramai (crowdfunding) akan dapat menampung sewa rumah dan perbelanjaan hidup warga emas itu.
"Saya minta maaf kerana kemampuan saya sebagai ahli parlimen sangat terhad.
"Peruntukan kepada parlimen Muar telah dipotong dari RM3.8 juta kepada RM 100,000 setahun.
"Apa yang ada, saya bantu. Tapi sangat terhad," katanya.
Mereka yang berminat menghulurkan derma boleh mengunjungi laman Facebook Syed Saddiq.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai