Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Batalkan perintah kuarantin tiga hari, gesa Akademi Perubatan, MMA

Akademi Perubatan Malaysia berkata pihaknya merasa terganggu dengan pengenalan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba melalui Warta Persekutuan.

Perintah itu menyatakan menteri kabinet yang kembali dari lawatan rasmi ke luar negara hanya perlu dikuarantin selama 3 hari dan bukan 10 hari kuarantin wajib untuk mereka yang masuk ke dalam negara.

"Kami menggesa kerajaan untuk membatalkan Perintah Pengecualian itu dan - sehinggalah ada bukti ilmiah yang menunjukkan sebaliknya - maka (kerajaan) perlu melaksanakan kuarantin 10 hari untuk semua," kata mereka.

Akademi Perubatan Malaysia, merangkumi 11 kolej dan 15 bahagian, merupakan badan berdaftar mewakili pakar-pakar perubatan Malaysia.

Kata akademi itu, mereka juga sebulat suara membantah Perintah Pengecualian Menteri Kesihatan dan juga rancangan Dr Adham untuk meluaskan peraturan kuarantin selama 3 hari kepada semua pelancong lain - ahli perniagaan dan orang awam yang keluar masuk negara.

"Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) perlu berdasarkan pada sains. 

"Tempoh kuarantin untuk pelancong masuk ditetapkan pada 10 hari berdasarkan penelitian yang menunjukkan bahawa risiko penularan sangat rendah (kurang 1 peratus) selepas 10 hari dengan melakukan pemantauan dan ujian.

"Tempoh inkubasi untuk Covid-19 rata-rata lima ke enam hari tetapi boleh selama 14 hari. Oleh itu, tiga hari tidak mencukupi untuk mengesan gejala. Perlu ada penjelasan berdasarkan bukti kesihatan awam untuk keputusan kerajaan mengurangkan hari kuarantin," kata Akademi Perubatan Malaysia lagi.

Bagaimanapun Dr Adham menegaskan tempoh kuarantin sepuluh hari telah menjadi penghalang kepada para pelabur, dan juga orang kenamaan asing yang ingin datang ke Malaysia, maka kuarantin tiga hari "untuk memastikan negara dapat membuka ekonomi."


BACA BERKAITAN:

Dr Adham longgar peraturan kuarantin untuk menteri pulang dari lawatan rasmi

'Baik tak ada kuarantin langsung' - pakar bantah cadangan menteri

Sarawak tak pendekkan kuarantin bagi menteri

34 MP pembangkang: Buat keputusan ikut data, bukan mudahkan gaya hidup menteri


Kementerian Kesihatan pula menjelaskan kemudian hanya menteri kabinet yang melakukan perjalanan dalam 'gelembung program perjalanan' (itinerary bubble) yang akan menjalani kuarantin 3 hari.

Akademi perubatan dalam kenyataannya membantah idea ini, berkata keberkesanan apa yang disebut sebagai ‘gelembung perjalanan’ juga masih dipertikaikan kerana varian baru Covid-19 dengan peningkatan kemampuan penularan pantas di seluruh dunia.

"Tidak ada cukup data mengenai mutasi untuk mengembangkan protokol yang kuat untuk perjalanan yang selamat.

"Kami faham ada desakan untuk membuka kembali ekonomi demi kepentingan rakyat Malaysia dan perniagaan yang sedang berjuang, tetapi ini hanya dapat dilakukan dengan mengawal wabak terlebih dahulu.

"Kerajaan tidak boleh membuka sempadan negara kita untuk delegasi 'travel bubble' dan berisiko membawa varian baru yang dapat membanjiri sistem kesihatan kita," kata mereka lagi.

Kenyataan mereka ini ditandatangani oleh Akademi Perubatan Malaysia (Profesor Dr Rosmawati Mohamed, Master); Kolej Pakar Anestesiologi (Dato Dr Jahizah Hassan, Presiden); Kolej Pakar Pergigian (Profesor Dato ’Dr Lian Chin Boon, Presiden); Kolej Pakar Perubatan Kecemasan (Dr Ridzuan Dato ’Mohd Isa, Presiden); Kolej Obstetrik dan Ginekologi (Profesor Datuk Dr Siti Zawiah Omar, Presiden); Kolej Oftalmologi (Dr Nur Fariza Ngah, Presiden); Kolej Pediatrik (Profesor Dr Thong Meow Keong, Presiden); Kolej Ahli Patologi (Profesor Dr Cheong Soon Keng, Presiden); Kolej Perubatan (Dr Letchuman Ramanathan, Presiden); Kolej Perubatan Kesihatan Awam (Dato ’Indera Dr Sha’ari Ngadiman, Presiden); Kolej Radiologi (Profesor Dr Norlisah Ramli, Presiden); Kolej Pembedahan (Profesor Dr April Camilla Roslani, Presiden).

Terdahulu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr M Subramaniam mengatakan pihaknya juga dengan tegas membantah perintah menteri baru.

"Ini menyebabkan adanya dwistandard dan MMA mendesak supaya perintah baru itu dicabut dengan serta-merta.

"Pertimbangan yang teliti mesti dilakukan dengan perintah baru yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan setiap keputusan dalam menguruskan wabak itu, perlu berdasarkan sains dan bukti," katanya.

"Perintah baru menteri itu dengan jelas membuat rakyat marah. Jika kerajaan mahu rakyat mematuhi SOP dengan tegas, maka ia perlu memimpin melalui teladan dan mematuhi peraturan yang sama.

"Tempoh kuarantin 10 hari yang sama mesti dilaksanakan kepada semua orang tanpa mengira darjat. Kerajaan perlu menghentikan amalan dwistandard ini," tambahnya.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.