Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Meski kritis pada buku Thomas, Badan Peguam tak setuju pengharaman

Badan Peguam Malaysia berpandangan tindakan mengharamkan buku memoir bekas peguam negara, Tommy Thomas berlebihan.

Ini meskipun, presidennya Salim Bashir sebelum ini dilihat mempunyai pandangan kritis terhadap buku itu.

Salim bagaimanapun berkata, pihaknya merasa terganggu dengan cadangan mengharamkan buku Thomas.

"Thomas bebas untuk menyuarakan pandangannya, dan mereka yang tidak setuju dengannya boleh mengkritiknya.

"Namun, perselisihan seperti itu tidak memerlukan pengharaman buku memoir Thomas," kata Salim.

Dia menambah bahawa buku itu tidak melanggar batasan kebebasan bersuara berdasarkan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sejak diterbitkan bulan lalu, memoir Thomas berjudul My Story: Justice in the Wilderness telah mengundang sejumlah laporan polis, ancaman tindakan undang-undang dan siasatan Kementerian Dalam Negeri yang boleh membawa kepada pengharamannya.

Salim adalah antara yang kritikal terhadap buku ini.

Dalam satu kenyataan, dia mengatakan buku itu perlu menyeimbangkan kebebasan bersuara dengan kepentingan umum dan pentadbiran keadilan.

Ini setelah memoir itu dikritik kerana didakwa menghina proses mahkamah yang sedang berjalan.

Salim juga sebelum ini mengatakan bahawa memoir itu secara tidak tepat menggambarkan Jabatan Peguam Negara sebagai tidak cekap.

Bagaimanapun, dalam kenyataan hari ini, dia mengatakan bahawa mengharamkan buku itu akan menjadikan Malaysia tidak berbeza dengan negara autokratik yang menolak pandangan berbeza.

"Hampir semua idea dan pandangan mempunyai kemampuan untuk menyinggung perasaan seseorang.

"Kepelbagaian pemikiran harus dihargai, dan walaupun tidak semestinya semua pihak sepakat antara satu sama lain, individu harus diberi kebebasan untuk memiliki pandangan sendiri dan mengekspresikannya.

"Selagi pandangan ini tidak membahayakan keselamatan masyarakat dan negara kita, Badan Peguam Malaysia menggesa semua orang untuk menghormati hak rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan mereka," katanya.