Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Puad: Bertanya pun kena saman?

Diancam untuk disaman ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi terus mempersoalkan kewajaran kerajaan melaksanakan darurat serta pelbagai peraturan yang ditetapkan mereka.

Dalam hantarannya di media sosial hari ini Puad berkata apa yang dipersoalkan ialah "perintah" yang dikeluarkan oleh menteri menggunakan Warta Persekutuan.

Misalnya kata bekas timbalan menteri itu kelonggaran kuarantin wajib ke atas menteri yang pulang dari luar negara.

"Apakah itu tujuan darurat? Untuk memenuhi keperluan dan keselesaan menteri?

"Jangan gunakan darurat untuk menghalang rakyat bertanya dan minta penjelasan.

"Bertanya pun kena saman?" katanya.

Semalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberi kata dua kepada Puad agar meminta maaf ekoran membuat kenyataan mengenai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas itu mendakwa Muhyiddin dan pegawainya enggan menjalankan kuarantin ketika tiba di tanah air selepas menamatkan lawatan ke Jakarta, Indonesia. 

Puad juga bertanya adakah keputusan melonggarkan arahan kuarantin - daripada 10 hari kepada tiga hari untuk menteri - ada kaitan dengan kepulangan rombongan Muhyiddin.

Dalam kenyataannya PMO menafikan dakwaan Puad malah menyifatkan ia sebagai sebagai berniat jahat untuk mencemarkan nama baik perdana menteri.

"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap beliau sekiranya beliau gagal memohon maaf secara terbuka," kata PMO.

Bagaimanapun untuk rekod arahan yang dikeluarkan Adham baru-baru ini bukan dibuat mengikut kuasa darurat sebaliknya mengikut Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 dari Akta Pencegahan dan Pengawalam Penyakit Berjangkit 1988.

Undang-undang yang dibuat mengikut kuasa darurat dikenali sebagai ordinan.