Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

113 persatuan perniagaan serah memo pada pejabat PM gesa pakej rangsangan

Sebanyak 113 persatuan melibatkan dewan perniagaan, perdagangan, keusahawanan dan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hari ini  menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta menaikkan bantuan pakej rangsangan.

Mereka menggesa agar bantuan itu memberi fokus khas kepada usahawan dan industri PKS.

Memorandum itu turut menyenarai pendek 13 perkara yang perlu diberi tindakan segera.

Terdahulu pagi tadi, Presiden Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA) Richard Koh dan Penasihat sekretariat khas Covid-19 mewakili peniaga dan usahawan PKS, Abdul Malik menyerahkan memorandum tersebut kepada Muhyiddin.

"Harapan kami adalah semua ekonomi negara perlu dibuka semula. Perniagaan tidak boleh ditutup bagi tempoh yang panjang.

"Ramai tidak akan bertahan. Umpamanya, pusat beli belah tidak dibuka. Tetapi, peniaga masih perlu membayar sewa bulanan dan bayaran lain. Ini menyusahkan mereka," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau turut menekan bahawa larangan rentas negeri juga harus dilonggarkan.

"Bagaimana nak buat perniagaan sedangkan perniagaan dibenarkan tetapi larangan rentas negeri masih dikekalkan?" soalnya.

"Pada pendapat saya, sekatan jalan raya tidak begitu efektif untuk mengekang Covid-19.

"Sebaliknya, kita harus fokus kepada kawasan yang mempunyai kes tinggi. Katakan, kalau satu kawasan di Selangor ada kes tinggi, tutup kawasan itu. Saya rasa itu dapat mengawal penularan virus," tambahnya.

Antara 13 perkara dibangkitkan dalam memorandum tersebut adalah:

1) Melanjutkan moratorium bank kepada semua jenis pinjaman peniagaan sehingga 31 Disember 2021,

2) Pengecualian bayaran lesen dan caj penilaian untuk perniagaan sehingga 31 Disember 202,

3) Penangguhan bayaran seperti KWSP, Perkeso, SIP, HRDF, LHDN, SSM, SST, dan bayaran levi pekerja asing, sehingga 31 Disember

4) Subsidi 50 peratus bil elektrik sehingga 31 Disember

5) Subsidi program upah dinaikkan dari RM600 hingga ke RM1,200 dan had kepada 500 kakitangan juga harus diperluas

6) Pinjaman mudah kepada semua jenis perniagaan

7) Kaji semula bagaimana peruntukan DanaJamin dapat disalurkan kepada pengeluaran asas industri untuk perniagaan mikro dan kecil yang tidak memenuhi syarat dan terma DanaJamin

8) Melancarkan pinjaman perniagaan dalam bentuk Tabung Bantuan Khas 2.0 berdasarkan perbelanjaan modal dibelanjakan oleh syarikat pada tahun 2019 dan 2020

9) Kerjasama tiga pihak di mana penyewa membayar 1/3 daripada sewa selama 6 bulan, kerajaan memberi subsidi 1/3 dan pemilik tanah selebihnya dari 1/3 sewa. Pemilik tanah akan diberi cukai insentif serta pengecualian faedah bank untuk tempoh yang sama

10) Kerajaan dapat memberikan tempoh untuk pembayaran cukai berdasarkan CP204 anggaran untuk jangka masa 12 bulan

11) Memanjangkan tempoh syarikat yang terjejas di bawah PKP 2.0 untuk penyerahan laporan tahunan dan penyerahan laporan berkanun yang lain.

12) Tidak memperkenalkan sebarang cukai baru dalam tempoh ini

13) Membenarkan semua jenis perniagaan dijalankan dalam tempoh PKP ini dengan SOP yang ketat.

Sementara itu, ketika dihubungi Setiausaha Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) AT Kumarajah berkata bahawa memorandum 13 perkara ini adalah tindakan penyeimbangan antara hidup dan mata pencarian.

"Kami memahami tindakan kerajaan untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dan membenarkan persekitaran perniagaan yang terkawal untuk terus mengerakkan ekonomi negara kita.

"Matlamat kami jelas iaitu selaras dengan kerajaan - mari kita pastikan semua industri memiliki peluang yang sama untuk memastikan pertumbuhan ekonomi agar tidak tergelincir.

"Kita harus melihat ekonomi sebagai rantai nilai berterusan dan tidak ada satu pun industri yang dapat berkembang maju sebagai silo.

"Oleh itu, menutup industri tertentu sambil yang lain terbuka - tidak akan menjadi satu petanda baik untuk kesan penggandaan ekonomi sambil melumpuhkan inti pati rantaian nilai," katanya.

Selain kepada Muhyiddin, memorandum itu turut diserahkan kepada lapan menteri termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali, Menteri Petahanan Ismail Sabri, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Menteri yang lain adalah Menteri Unit Perancangan Ekonomi Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) Nancy Shukri.

Dalam perkembangan terbaru petang ini, kerajaan mengumumkan bahawa makan di premis restoran akan dibenarkan bermula esok.

Sektor peruncitan, yang meliputi pakaian, fesyen, aksesori, dan kedai kasut juga dibenar dibuka mulai esok.