Nazri: Kalau Muhyiddin nak hukum saya, dia menghukum rakyat
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz adalah antara lima anggota Dewan Rakyat dari Umno yang dipotong peruntukannya oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.
Menurut Nazri apa yang dilakukan presiden Bersatu itu sebenarnya merupakan hukuman kepada rakyat Padang Rengas yang diwakilinya.
"Dia (Muhyiddin) kena ingat, kalau dia nak hukum saya, bukan saya (yang menanggungnya). Ini rakyat tau? Dia menghukum rakyat.
"Saya dah sokong bajet, dia bertanggungjawab untuk memastikan rakyat di Padang Rengas mesti mendapat peruntukan yang dijanjikan kepada ahli parlimen lain yang menyokong bajet," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Menurut Nazri lagi perdana menteri perlu menunaikan janji yang dinyatakan dalam Belanjawan 2021 kerana rakyat Padang Rengas berhak mendapatkan peruntukan itu.
Pun begitu Nazri dilihat enggan memberikan komen lanjut.
"Terserah kepada dia jika dia nak mendiskriminasi rakyat di Padang Rengas.
"Wang itu tiada kena-mengena dengan saya, tugas saya hanyalah menyerahkan peruntukan itu kepada rakyat.
"Sekiranya orang tanya saya, saya akan beritahu mereka PN (Perikatan Nasional) tak bagi peruntukan, itu saja," katanya.
Pada 3 Februari, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang juga ahli parlimen Bagan Datuk mendedahkan peruntukan kawasannya - dan empat ahli parlimen Umno yang lain - dipotong daripada RM3.7 juta menjadi RM100,000.
Ahli parlimen lain yang dipotong peruntukannya termasuk Nazri, Najib Razak (Pekan), Ahmad Maslan (Pontian) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).
Untuk rekod Nazri dan Ahmad Jazlan adalah antara ahli parlimen yang mengumumkan pendirian mereka untuk tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Langkah itu menyebabkan status dukungan yang diterima ahli parlimen Pagoh itu menjadi persoalan. Pembangkang dan beberapa ahli parlimen Umno sendiri mendakwa Muhyiddin kini sudah tiada majoriti di parlimen.
Ketika ditanya apakah Nazri dihukum kerana secara terbuka menarik sokongannya terhadap Muhyiddin, dia menjawab: "Saya tidak kisah. Saya tidak peduli."
"Saya tak tau, saya tak boleh speculate, tapi tanya dia (Muhyiddin).
"Tapi saya nak beritau, kami semua telah delivered, luluskan budget.
"Kita tunai kita ada janji, jadi sepatutnya peruntukan-peruntukan yang diberi kepada wakil rakyat, mesti dapat, kita dah sokong," katanya lagi.
Bagaimanapun, MP Padang Rengas selama lima penggal itu berkata dia tidak akan merayu kepada Muhyiddin walaupun dia berasakan rakyat yang diwakilinya berhak mendapat peruntukan sama seperi ahli parlimen kerajaan PN.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai