Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hotel lima bintang di Melaka tawar nasi bajet RM2

Selepas Pulau Pinang dan Terengganu, kini tiba giliran sebuah hotel bertaraf lima bintang di Melaka yang menawarkan nasi bajet dalam usaha untuk terus bertahan ketika sektor pelancongan masih ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jurumasak Hotel Hatten Badrol Hisham Mohd Ali berkata langkah itu diambil susulan tiada pelanggan yang menginap di situ selain restoran di dalamnya juga masih ditutup.

"Selain menambah pendapatan hotel yang terkesan dengan pandemik Covid-19, penjualan nasi bajet juga diharap dapat memberi sedikit kegembiraan kepada orang ramai yang terjejas pendapatan untuk mendapatkan makanan pada harga yang lebih murah.

"Kami membuat jualan nasi bajet ini bermula Jumaat lepas dan sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila kira-kira 500 orang mengunjungi gerai setiap hari," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Badrol Hisham berkata juadah yang disediakan bagi nasi bajet ialah nasi putih bersama seketul ayam atau sepotong ikan serta sedikit sayur.

"Ada juga pilihan lauk lain seperti ayam madu, ayam percik, ketam, kek dan biskut namun ia dijual dengan harga berasingan.

"Kami menawarkan menu yang berbeza setiap hari agar pelanggan dapat menikmati juadah yang berbeza dan tidak jemu dengan lauk yang sama," katanya sambil menambah jualan itu bermula pada 12 tengah hari dan berakhir pada 8 malam setiap hari.

Badrol Hisham berkata buat masa ini, penjualan nasi bajet akan dilakukan selama sebulan dan pihaknya akan mengambil tindakan lanjut berdasarkan perkembangan semasa PKP.

Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Azlin, 22, berkata beliau gembira dengan penjualan nasi bajet itu kerana hanya bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai barangan kesihatan berhampiran hotel berkenaan.

"Memandangkan Banda Hilir merupakan kawasan tumpuan umum dan kebanyakan kedai makan menjual makanan dengan harga yang sedikit mahal, justeru nasi bajet ini membantu saya mendapatkan makanan dengan harga lebih murah.

"Walaupun terpaksa beratur panjang dan mengambil masa kira-kira 30 minit namun saya rasa berbaloi dengan harga yang ditawarkan," katanya.

- Bernama