Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Maeps terima sumbangan 500 buku, siap disusun dalam troli

Ada dua faktor yang menggerakkan hati Zatika Izati Puade, 44, untuk memulakan usaha menyumbang lebih 500 buah buku kepada penghuni pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), kelmarin.

Pertama, berita yang diterima bahawa kakak sepupunya sendiri menjalani kuarantin di Maeps.

Kedua, video Tik Tok ‘pertunjukan fesyen’ melibatkan pemuda-pemuda di Maeps yang tular pertengahan bulan lepas.

“(Ini) mencetus pertanyaan dalam hati saya, bagaimanakah mereka menghabiskan masa di sini,” katanya ketika dihubungi semalam, merujuk individu positif Covid-19 yang perlu dikuarantin di Maeps dalam keadaan mereka kelihatan sihat sahaja dan tidak pun bergejala.

“[...] (Bagaimana)yang tak minat dengan benda-benda tular di Tik Tok ini?” soal penulis dan penterjemah bebas itu lagi.

Maka, Zatika pun mula bertanyakan pandangan rakan dan pengikut media sosial tentang niatnya itu, pada bulan lalu.

Tidak menunggu lama, dia terus menghubungi Maeps pula keesokan harinya bagi menyatakan niatnya itu.

Setelah mempertimbangkan segala hal, dia memutuskan, sumbangan buku akan dibuat bersama troli bagi memudahkan buku beredar di beberapa dewan luas yang menempatkan pesakit dalam pelbagai tahap jangkitan.

Pada hari sama juga, peluang dibuka untuk sesiapa sahaja memberikan sumbangan buku ataupun wang untuk pembelian troli, menerusi kumpulan Gerakan Baca Sambil Menunggu (GBSM) yang diasaskan Zatika sendiri sejak 2010 lagi.

Kumpulan itu bermatlamat memupuk minat membaca, dengan aktiviti khusus menyumbang bahan bacaan kepada ruang-ruang menunggu di hospital dan klinik, selain tempat-tempat lain yang memerlukan seperti sekolah, asrama anak yatim, rumah ibadat dan sebagainya.

Hasilnya, kelmarin lebih 500 buah buku dan 10 troli berjaya disampaikan kepada PKRC Maeps, berkat sumbangan individu yang bermurah hati, supaya dapat dimanfaatkan penghuni yang menjalani kuarantin di situ.

Kata Zatika, mereka bukanlah penyumbang buku pertama kepada pusat berkenaan, kerana sebelum itu sudah ada sumbangan buku seperti naskhah Yasin, buku fatwa vaksin serta buku nukilan pesakit Covid-19 yang telah pulih.

Bagaimanapun, kata ibu kepada dua cahaya mata itu, dia difahamkan ada buku yang tidak sempat hendak dibuka bungkusannya, disusun dan diagihkan.

“Sebab itu saya sendiri susunkan buku-buku ke dalam troli pada hari penyerahan dan terus diagihkan ke dewan-dewan berkenaan.

“Untuk pusat kuarantin Covid-19, setakat ini, ini yang pertama bagi GBSM. Insya-Allah, jika ada permintaan lagi untuk pusat kuarantin lain, kami cuba usahakan,” kata bekas akauntan itu lagi.

Pun begitu, memandangkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan larangan merentas negeri, GBSM akan memberi tumpuan terhadap permintaan dari Lembah Klang terlebih dahulu.

Bagi penghuni di Maeps yang mahu berkongsikan apa-apa hantaran mengenai buku yang dibaca daripada troli berkenaan, mereka hanya perlu mengimbas kod QR yang ditampal pada troli berkenaan yang akan membawa mereka terus ke laman kumpulan Facebook GBSM.

Mereka boleh berkongsi hantaran mereka di situ.

Mengenai GBSM pula, kata Zatika, kumpulan itu akan terus mencuba sedaya upaya untuk menyediakan bahan bacaan ‘seksi’ terutama buat golongan muda, yang akan menimbulkan rasa ingin membaca, mahu berkongsi gambar atau ulasan bersama rakan-rakan lain di media sosial.

Menurutnya, dia berharap ikhtiar ini akan dapat memupuk minat membaca khususnya buat golongan yang baru mahu berkenalan dengan dunia buku.

“Sebab itu kami cuba dapatkan bahan bacaan yang terbaik. Nipis pun tak mengapa. Tapi ini bergantung kepada sumbangan orang ramai jugalah,” katanya lagi.

Menurut Zatika, setakat ini, kumpulan itu sudahpun membuat sumbangan kira-kira 6,000 buah buku. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.