Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dari doktor jadi pesakit - pengalaman petugas terawal lawan Covid-19

Sebagai salah seorang perunding intensivis utama di Hospital Sungai Buloh, Dr Lee Chew Kiok merupakan antara petugas barisan depan pertama di Malaysia yang merawat pesakit Covid-19, ketika peringkat awal penularannya.

Pasukannya juga bertanggungjawab dalam menyediakan pelbagai protokol dalam melawan wabak itu. Protokol tersebut digunakan di hospital seluruh negara.

"Saya antara salah seorang petugas yang ada ketika wabak melanda, jadi saya terlibat.

"Kami bertanggungjawab mewujudkan wad ICU Covid-19, penyediaan protokol untuk bantuan pernafasan, rawatan dan panduan untuk jururawat. Kami juga mendapatkan peralatan untuk wad.

"Saya bertuah kerana ada pasukan yang bekerja bersama-sama, merangkumi doktor, jururawat dan kakitangan sokongan," katanya ketika wawancara bersama Kinitv.


Wawancara bersama Dr Lee Chew Kiok (bahagian pertama)


'Doktor, saya tak boleh bernafas'

Pesakit pertama dirawat di wad ICU di Hospital Sungai Buloh tidak lama selepas ia diwujudkan. Pesakit itu kemudian menjadi kritikal dan di bawah rawatan Dr Lee.

Lee tidak dapat menahan emosi ketika mengimbas kembali bagaimana dia menenangkan pesakit itu yang menjadi panik.

"Pesakit beritahu saya 'doktor, saya tak boleh bernafas. Sudah 10 hari saya di sini dan saya sangat takut. Tolong jangan tinggalkan saya seorang di sini'.

"Saya sangat sedih sebab mereka sentiasa keseorangan (di bilik ICU). Jadi saya beritahu dia 'saya tak akan tinggalkan anda dan akan tolong anda'."

Dr Lee Chew Kiok

Lee berkata pihak hospital kemudian segera memutuskan untuk memberi bantuan pernafasan kepada pesakit tersebut.

"Intubasi (bantuan pernafasan) adalah proses yang sangat bahaya kerana ia keluarkan banyak aerosol dalam udara. Kita juga perlu dekat dengan mulut pesakit untuk masukkan tiub.

"Memandangkan dia pesakit Covid-19 pertama yang perlukan bantuan pernafasan, saya perlu tonton video untuk belajar cara memakai powered air-purifying respirator (PAPR) untuk melindungi diri saya.

"Hampir tiga jam diambil untuk seluruh prosedur (intubasi pertama), daripada persediaan untuk beri sedatif kepada pesakit sehinggalah memasukkan tiub," katanya lagi.

Dengan penjagaan teliti oleh pasukan perubatan, pesakit ICU pertama itu akhirnya sembuh.

Kerja lebih 10 jam

Sementara keadaan penularan Covid-19 dalam keadaan terkawal pada enam bulan pertama, ia merosot dengan begitu pantas setelah gelombang ketiga melanda pada September 2020.

Menurut Lee, nisbah pesakit dengan kakitangan perubatan meningkat begitu tinggi pada Disember susulan pertambahan pesakit.

Secara ideal seorang perunding kesihatan boleh menjaga 15 hingga 20 pesakit Covid-19 pada satu masa. Lee pula menjaga 45 pesakit apabila pegawai intensivis lain dalam cuti.

Dia juga perlu bekerja lebih 10 jam sehari.

"Kami kian keletihan dan apabila kami ambil cuti, hanya seorang perunding intensivis yang bertugas.

"Apabila rakan saya tidak bertugas, saya perlu kerja dari lapan pagi dan pada jan enam petang, saya masih di wad ICU," katanya.

Di tengah-tengah kesibukan itu, Lee ditimpa khabar yang mengejutkan. Pada 23 Disember 2020, iaitu dua hari sebelum perayaan Krismas, dia disahkan positif telah mengalami keletihan dan sakit badan selama beberapa hari.


Wawancara bersama Dr Lee Chew Kiok (bahagian dua)


"Malam itu saya menangis kerana sangat tertekan. Saya tanya diri sendiri macam mana saya boleh dijangkiti.

"Saya mula bimbang keadaan diri dan keluarga kerana tak pasti sama ada saya sudah menjangkiti mereka atau tidak. Ibu bapa saya sudah tua," katanya.

Mujurlah semua kontak rapat Dr Lee disahkan negatif selepas membuat ujian. Dia akhirnya dirawat selama 12 hari di Sungai Buloh sebelum sembuh. Sejak itu, dia diberi cuti.

Dengan sistem kesihatan negara dalam keadaan genting, hospital Covid-19 di seluruh negara giat mendapatkan sukarelawan.

Namun Dr Lee berkata, walaupun semakin ramai yang menjadi petugas barisan depan, pengalamannya memberitahu yang keadaan kekal mencabar buat mereka.

"Kami perlukan pasukan khusus jururawat ICU. Jururawat yang ditempatkan secara sementara mungkin tidak begitu biasa dengan Hospital Sungai Buloh/

"Mereka mungkin tidak tahu di mana mesin atau wad ICU. Mereka mungkin tak guna mesin yang sama di hospital mereka. Kami perlukan masa untuk melatih mereka," katanya lagi.

Setelah setahun di barisan depan melawan Covid-19, Dr Lee hanya ada satu permintaan untuk rakyat Malaysia: "Jika anda lambat dapat rawatan dan dimasukkan ke ICU, peluang anda untuk sembuh adalah 50 peratus.

"Jadi tolong jaga diri sendiri dan orang di sekitar. Harungi wabak ini dengan terus hidup," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.