Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Salahuddin rayu syarikat telko perkenal 'pakej kasih sayang' buat PdPR

Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub merayu syarikat-syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan harga data internet ketika kebanyakan pelajar terpaksa bergantung kepada kelas dalam talian di rumah masing-masing susulan pandemik Covid-19 kini.

Kata timbalan presiden Amanah itu, terutamanya buat pelajar-pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, khususnya di luar bandar yang berdepan kesulitan menyediakan kelengkapan untuk kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Usulnya, syarikat telekomunikasi boleh mengadakan satu pakej atau program khas yang memberi tumpuan terhadap golongan berkenaan.

“Ini akan dapat membantu anak-anak kita yang tidak berkemampuan ini. Sudahlah bapanya kena balikan gajet di musim Covid-19 ini (untuk PdPR).

“Jangan menunggu arahan kerajaan sahaja. Saya merayu, dia (syarikat telekomunikasi) mesti tampil untuk melakukan (sesuatu), ketika rakyat susah ini.

“Buat sementara waktu sahaja, ketika waktu Covid-19, untuk anak-anak kita mendapat akses dengan pembelajaran dalam talian,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bahkan, tambah Salahuddin, kementerian berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh membantu dengan menyediakan data supaya bantuan tersebut difokuskan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Semalam, Salahuddin turut menyuarakan pandanganya itu di Twitter dengan meminta perdana menteri dan menteri berkaitan mengambil perhatian berkenaan masalah yang dihadapi ibu bapa kurang berkemampuan untuk melanggan data prabayar.

 

Ekoran gelombang ketiga Covid-19 serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan bersemuka yang sepatutnya bermula 20 Jan lalu hanya membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama.

Ia melibatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan setaraf yang lain.

Pelajar-pelajar lain pula akan belajar menerusi kelas dalam talian di rumah masing-masing, di bawah PdPR.

Ketika mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pada 18 Januari lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan pemberian data 1 gigabait (GB) percuma setiap hari untuk tujuan pendidikan, bermula 1 Jan hingga April.

'Pakej kasih sayang'

Kata Salahuddin, meskipun ada inisiatif sedemikian daripada kerajaan, masih ada keluarga yang tidak berkemampuan kerana ditimpa kesan PKP, seperti kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

Cerita bekas menteri pertanian dan industri asas tani itu, setiap kali dia pulang dan turun padang ke kawasannya di parlimen Pulai setiap minggu, dia menerima banyak aduan penduduk yang dihimpit kesusahan.

“Sebenarnya memang ramai rakyat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, pada musim Covid-19 ini. Contohnya, kalau merekat ak (dapat) membuka warung, atau suami atau anaknya diberhentikan kerja daripada kilang, memang tak boleh makan.

“Apatah lagi untuk membelikan gajet, untuk membayar data untuk anak-anak mereka yang tidak bersekolah ini (secara fizikal).

“”[...] Memang inilah isunya (yang diadukan kepadanya), untuk mengisi perut (bread and butter), dan bertambah lagi satu isu untuk melengkapkan anak-anak dengan pembelajaran dalam talian, (membeli) gajet.

“Kemudian, kena beli data pula. Itulah, saya merayulah,” katanya.

Justeru, kata Salahuddin, inilah masanya syarikat telekomunikasi melaksanakan tanggungjawab sosial mereka bagi membantu rakyat yang terkesan dan sangat memerlukan, setelah sekian lama mengaut keuntungan.

Lebih-lebih lagi, katanya, dia tidak melihat syarikat telekomunikasi tergolong dalam perusahaan yang terkesan teruk daripada Covid-19 dan PKP, memandangkan orang ramai masih lagi terus menggunakan internet sepanjang tempoh itu.

“Saya harap syarikat-syarikat gergasi telekomunikasi ini tampil dengan wajah kasih sayang mereka untuk rakyat,” tambahnya yang turut mencadangkan pakej khas itu diberi nama “pakej kasih sayang”.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2 Feb mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan syarikat telekomunikasi bagi turut sama membantu menjayakan PdPR.

Jelas SKMM, data percuma 1GB sehari itu adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada oleh pengguna, dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video dan emel, tetapi tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, permainan dalam talian dan penstriman muzik.

Ada syarikat telekomunikasi menawarkan pakej langgan khas untuk pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM, serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), serendah RM20 sebulan untuk 15GB.

Ada juga yang menawarkan pakej kad sim percuma kepada penuntut IPT daripada keluarga B40, dengan data 40GB, kandungan percuma dan telefon percuma.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan SKMM, ia tidak merangkumi sebahagian besar pelajar sekolah yang harus menjalani PdPR di rumah masing-masing. 

Bagaimanapun, dalam satu pekeliling, KPM mengumumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka bagi calon SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari ini, bagi memberi ruang murid membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari nanti.