Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

NUTP minta KPM tangguh pelaksanaan versi dua PdPR, elak kecelaruan

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pelaksanaan manual versi dua Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata pelaksanaan manual versi dua akan menambahkan lagi kecelaruan perjalanan PdPR.

"Kalau dulu, untuk PdPR secara 'online', masa PdPR untuk sekolah rendah hanya satu ke dua jam, yang baru ni dari 7.30 pagi hingga 1.00 petang. Cuba bayangkan permasalahan yang timbul berasaskan situasi sekarang.

"NUTP juga mahukan manual versi dua itu ditangguhkan pelaksanaannya kerana menambahkan lagi kecelaruan perjalanan PdPR. Kekalkan kaedah operasi PdPR sedia ada," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik membidas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana didakwa memaksa guru melaksanakan jadual PdPR, sama seperti mana ketika mengajar di sekolah.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, ini kerana apa yang dituntut KPM itu adalah sesuatu yang sangat tidak munasabah.

Kata Maszlee, dia berpendapat ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19, pihak KPM tidak seharusnya terlalu membebankan guru.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, NUTP mahu KPM berpijak di bumi nyata berkaitan pemilikan peranti dan capaian internet sebelum melaksanakan PdPR versi dua.

"NUTP mahu KPM berpijak di bumi nyata berkaitan aspek pemilikan peranti dan capaian internet sebelum laksanakan PdPR versi dua tersebut.

"NUTP juga mahu KPM selami permasalahan sedia ada guru-guru dalam laksana PdPR sebelum membuat tambahan beban kepada mereka serta menambahkan permasalahan kepada murid dan ibu bapa, perkasakan PdPR yang asal," katanya lagi.