Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PGA9 temukan dadah di sebalik pakaian dalam wanita

Seorang wanita menyembunyikan sejumlah dadah jenis syabu dan pil Erimin 5 di sebalik pakaian dalamnya agar dapat mengelak dikesan polis selepas ditahan bersama sepupu lelakinya dekat Tumpat, hari ini.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion Kesembilan Pasukan Gerakan Am (PGA9) Supt Nor Azizan Yusof, lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.45 tengah malam berdekatan Kampung Kubang Batang, Tumpat.

Katanya mereka berada dalam sebuah kereta Honda Jazz dan ditahan sepasukan anggota risik yang membuat rondaan.

Menurtu Nor Azizan kenderaan suspek ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan yang dikatakan sering berlaku kegiatan pengedaran dadah sekitar Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor.

"Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas suspek lelaki polis menemui wang tunai berjumlah RM898 dan pemeriksaan di dalam kenderaan tidak menemui apa-apa barang salah.

"Pemeriksaan ke atas suspek wanita pula polis menemukan beberapa paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat enam gram dan kerajang-kerajang mengandungi pil disyaki dadah jenis Erimin 5 sebanyak 25 biji.

"Bahan terlarang itu disembunyikan dalam pakaian wanita terbabit dan dianggarkan bernilai RM975,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Nor Azizan berkata, ujian saringan air kencing suspek lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita positif amphetamine.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki pernah ditahan berkaitan dadah pada 2016. Susulan tangkapan ini satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Chabang Empat, Tumpat untuk tindakan lanjut," katanya.

Nor Azizan berkata, kedua-dua suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat dan kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

- Bernama