Lebih 4,700 petugas barisan hadapan KKM dijangkiti Covid-19
Seramai 4,756 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangkiti Covid-19 setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 3,101 melibatkan petugas wanita manakala selebihnya petugas lelaki.
"Kebanyakan mereka ini mendapat jangkitan dalam komuniti dan bukannya di fasiliti tempat mereka bertugas," katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan siri 2/201 secara dalam talian di Kuala Lumpur hari ini.
Sesi itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Viralogi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.
Sementara itu Dr Noor Hisham berkata 936 barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dijangkiti virus itu setakat ini.
Noor Hisham turut berkata sehingga kini petugas kesihatan yang telah dijangkiti Covid-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu ialah 93 orang.
"KKM sedang giat mengesan kontak rapat mereka dan pesakit terbabit telah diasingkan untuk tujuan rawatan," katanya.
Pada sesi yang sama Nor Hisham berkata satu lagi varian B177 dikenal pasti di Malaysia baru-baru ini melibatkan individu yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Mengulas lanjut Ravindran berkata, sampel kes berkenaan adalah hasil saringan di pintu masuk antarabangsa.
Sebelum ini, varian B117 dikesan pada pertama kali di negara ini selepas rakyat tempatan pulang dari United Kingdom pada Dis tahun lepas sebelum didapati positif pada 28 Dis.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai