Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua sindiket pelaburan babitkan kerugian lebih RM3.6j tumpas

Pihak polis menumpaskan dua sindiket penipuan pelaburan bernilai lebih RM3.6 juta dengan tertangkapnya 16 individu dan merampas pelbagai barang yang digunakan mereka termasuk wang tunai dan kereta mewah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata bahawa sindiket pertama dikenali sebagai Pelaburan Cryptocurrency Emas Fintech yang dipercayai mula beroperasi sejak Apr sehingga Dis 2020.

"Pihak JSJK menerima sebanyak 43 laporan polis melibatkan kerugian RM2,820,780.

"Susulan daripada itu pada 3 Feb 2021, sepasukan anggota JSJK membuat serbuan dan tangkapan ke atas sembilan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 34 tahun hingga 62 tahun di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu polis turut merampas wang tunai bernilai RM27,600, lima kenderaan mewah pelbagai jenama, 22 kad kredit/debit, enam komputer riba, 20 telefon bimbit dan cakera keras.

Turut dirampas satu pasport antarabangsa Malaysia dan dokumen berkaitan pelaburan emas Fintech.

Bagaimanapun, Zainuddin memberitahu suspek utama yang disyaki sebagai dalang dalam sindiket itu masih bebas dan usaha mengesan sedang giat dijalankan.

"Modus operandi mereka ialah, pelaburan ini dikatakan sejenis pelaburan menggunakan platform dagangan matawang krypto dan sindiket ini menawarkan pelaburan perdagangan mata wang digital kononnya dengan kerjasama exchanger terkenal dunia seperti Binance, Liquid, Kraken dan Okcoin.

"Sindiket pelaburan ini menawarkan kepada para pelabur pulangan antara 10 peratus hingga 15 peratus sebulan," katanya.

Tawar pulangan tinggi, pantas 

Sementara itu, sindiket kedua dikenali sebagai pelaburan Iskandar Investment atau lebih dikenali sebagai "money rolling".

"Pihak JSJK Bukit Aman menerima 41 laporan polis melibatkan kerugian sebanyak RM831,045. Skim ini beroperasi pada Jan 2020 hingga Jan tahun ini.

"Mangsa didorong untuk melabur secara dalam talian melalui Facebook bagi menjana wang dengan menjanjikan keuntungan dalam masa 24 jam melalui tiga pakej yang ditawarkan.

"Di bawah pakej Gold, pelabur mendapat RM7,350 dalam masa 24 jam jika melabur RM350, manakala pakej tertinggi (Platinum) menawarkan sehingga RM49,450 dengan pelaburan RM2,350 saja," katanya.

Menurut Zainuddin pada 1 Feb lalu sepasukan polis JSJK dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah membuat serbuan dan menahan tujuh suspek warga tempatan termasuk tiga perempuan.

Katanya polis turut merampas wang tunai RM64,994, 25 kad ATM, komputer riba, telefon tangan dan tiga buah kereta.

Tambah Zainuddin, suspek dalam kes ini juga merupakan 'pencari akaun' yang bertanggungjawab mencari mangsa.

"Bagi kes ini sebanyak 25 nombor akaun telah dikesan digunakan oleh sindiket ini," katanya.

Menurutnya kesemua suspek ditahan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Tambahnya, tindakan di bawah undang-undang pencegahan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) akan dibuat.