Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dr Mahathir perinci bagaimana Muhyiddin jadi PM

ULASAN l Bekas peguam negara, Tommy Thomas dalam bukunya “My Story - Justice in the Wilderness” berpendapat bahawa peletakan jawatan perdana menteri sebagai surrender of power, penyerahan balik kuasa yang sukar difaham.

Saya pula tidak faham kenapa peletakan jawatan itu sukar difaham. Parti Bersatu yang saya menjadi pengerusi telah tolak nasihat saya supaya tidak tergesa-gesa keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Ini bermakna parti saya tidak lagi mempunyai kepercayaan (confidence) kepada saya. Mereka menyokong Muhyiddin Yassin dan memutus untuk keluar dari PH dengan serta merta.

Apabila saya tidak lagi memiliki kepercayaan dari parti saya, saya tidak lagi dapat menjadi pengerusi parti. Saya buat keputusan untuk letak jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Saya dilantik jadi perdana menteri (PM) kerana saya pengerusi Bersatu. Apabila saya tidak lagi jadi pengerusi Bersatu, saya tidak lagi layak jadi perdana menteri. Maka saya pun terpaksa letak jawatan sebagai perdana menteri.


Jatuh bersama PH

Walaupun saya minta supaya Bersatu tangguh keputusan keluar dari PH, tetapi pada malam 23 Februari 2020 (Ahad) Bersatu telah ada majlis makan malam bersama PAS dan Umno, iaitu gabungan parti-parti yang dirancang oleh Muhyiddin untuk menjadi kerajaan apabila PH tumbang.

Saya jatuh bersama dengan kejatuhan PH. Tidak munasabah saya terus jadi perdana menteri apabila PH tidak lagi jadi kerajaan.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berpendapat kerajaan PH jatuh kerana saya letak jawatan. Jika PH masih ada majoriti, ia tidak akan jatuh. PH boleh pilih ahli Dewan Rakyat lain untuk jadi perdana menteri.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim memang berminat untuk jadi perdana menteri. Tetapi kerana PH hilang majoriti di waktu saya letak jawatan, Anwar tidak dapat ganti saya.

Kemudian semua 222 wakil rakyat diberi peluang oleh Yang di-Pertuan Agong untuk cadang calon mereka untuk jadi perdana menteri.


Sanggup kembali jadi PM

PH yang sepatutnya cadang saya, telah cadang Anwar konon kerana dia mendapat cukup bilang disebabkan sokongan dari Sabah dan Sarawak.

Tetapi Anwar hanya dapat 92 pencalonan dari PH sahaja. Sabah dan Sarawak tolak Anwar.

Saya dapat 62 pencalonan kerana PH tolak saya.

Jika PH calon saya seperti yang saya berhak dapat, saya akan dapat 154 undi. Saya sanggup kembali sebagai perdana menteri walaupun Bersatu tolak saya.

Setelah pencalonan depan Yang di-Pertuan Agong gagal menentukan PM baru, pemimpin PH termasuk Anwar datang jumpa saya dengan cadangan memilih saya sebagai PM. Saya letak syarat nama Anwar sebagai timbalan perdana menteri tidak disebut. Pada hari esok syarat saya dipersetujui.

PH berjaya mendapat 114 wakil rakyat yang menyertai kumpulan baru ini. Tetapi sebelum dapat dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin sudah dipilih oleh Seri Paduka.

Yang jelas ialah tidak mungkin Muhyiddin mempunyai majoriti kerana 114 dari wakil rakyat tidak bersama dengan beliau. Tetapi apabila dilantik sebagai perdana menteri beberapa penyokong kumpulan PH ditawar jadi menteri, oleh Muhyiddin. Maka ia pun memperoleh majoriti.

Kit Siang tentu tidak akan mengaku kejatuhan PH bukan kerana saya letak jawatan. Yang benar-benar menjatuh PH ialah pemilihan Anwar untuk jadi perdana menteri semasa membuat pengakuan kepada Yang di-PertuanAgong. Jika PH menamakan saya, segala-gala yang berlaku sekarang tidak akan berlaku.


DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri dan ahli parlimen Langkawi. Pandangannya ini dipetik dari media sosialnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.