Kisah raket badminton, laptop, Covid-19 dan Lee Chong Wei
Dia pernah terlintas untuk pulang ke Bukit Mertajam untuk membantu orang kampungnya yang terhimpit semasa musim Covid-19 ini, namun perintah kawalan pergerakan (PKP) membantutkan niat legenda badminton negara, Lee Chong Wei daripada berbuat demikian.
Tetapi apabila melihat perkongsian video yang memaparkan seorang anak muda menangis menerima sumbangan laptop semalam, Lee mencapai telefon dan menghubungi ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim serta meluahkan hasrat mahu menyumbangkan 50 tablet untuk kegunaan pelajar kurang mampu.
Dia teringat kesusahan hidupnya sendiri di waktu kecil.
“Ada satu video itu, dia (Sim) pergi jumpa budak itu, dia nak jadi doktor, dan dia memang mahu laptop. Satu hari, YB dapatkan satu laptop bagi kepada dia, dia menangis.
“Ini … masa saya kecil, saya nak satu raket itu, (tapi) tak dapat. Itu memang samalah.
“Kita budak-budak, ada satu cita-cita, macam ada yang nak jadi pemain badminton, ada yang mahu jadi yang terbaik dalam belajar, ada yang mahu jadi doktor. Dan (ada) dia tak dapat kerana keluarganya tak mampu,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Lee merujuk kisah menyentuh hati mengenai seorang nenek dan cucu lelakinya yang berusia 16 tahun yang tidak dapat menahan air mata menerima komputer riba percuma, kerana akhirnya berpeluang menyertai kelas dalam talian.
Anak muda yang bercita-cita menjadi doktor itu sebelum ini hanya bergantung kepada telefon pintar ihsan jiran tetangga. Namun apabila peranti itu rosak dan tidak dapat digunakan lagi, dia mula ketinggalan dalam pelajarannya.
Anak muda itu berazam untuk tidak akan lagi terlepas menyertai kelas dalam talian.
Sim ada mengumumkan hasrat murni mengenai sumbangan Lee itu di Facebooknya tadi.
Mengulas lanjut, Lee memaklumkan bahawa buat masa ini, dia sudah membuat tempahan sebanyak 50 tablet berkenaan, dan dijangka akan menerimanya selepas perayaan Tahun Baru Cina nanti dan akan dihantar kepada Sim untuk diedarkan.
Katanya, sumbangannya itu melibatkan kos tidak lebih RM30,000.
Cerita Lee, sebelum ini, ketika musim Covid-19, dia memang selalu memberikan sumbangan di beberapa tempat termasuk hospital, balai polis dan keluarga-keluarga kurang berkemampuan, namun dia tidak menghebahkan sumbangan yang diberikan.
Kata Lee, Bukit Mertajam dekat di hatinya kerana ia adalah kampung halamannya, dan dirinya memang selalu berhubung dengan Sim mengenai bantuan yang diperlukan di parlimen berkenaan.
Untuk sumbangan tablet itu, Lee memberikan bayangan bahawa bantuan itu tidak akan terhenti setakat itu.
“Bukit Mertajam ini kampung saya. Saya kenal YB Sim. Saya kata, saya kasi ini dulu (50 tablet), kalau tidak cukup lagi, saya akan bagi sumbangan lagi (selepas Tahun Baru Cina)."
Meskipun mengakui dia tidak akan mampu untuk membantu semua orang, sekurang-kurangnya, kata Lee, dia memberi sumbangan untuk dirinya sendiri.
“Apa saya mampu, saya bantu,” katanya.
Harapan Lee, lebih ramai orang akan tampil bagi membantu pelajar dan keluarga yang tidak berkemampuan semasa penularan Covid-19 ini yang menurutnya, merupakan masa yang genting untuk banyak orang dan belum diketahui bila ia akan berakhir.
Ini, termasuklah, katanya, golongan kaya dan ahli perniagaan yang lebih berkemampuan.
“Saya rasa bukan saya seorang saja, saya rasa rakyat Malaysia boleh dapat mesej ini. Mungkin ada orang lebih kaya, dan banyak wang, ahli perniagaan (contohnya), boleh bantu orang yang susah.
“[...] Tapi kita tak boleh harapkan kerajaan sahaja, seperti (wakil rakyat) YB Sim seorang mahu bantu semua orang.
“Kita kena kerjasama. Kita susah, susah sama-sama. Kita bagus, bagus sama-sama,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai