Rakyat Myanmar melawan darurat dengan periuk dan senduk
GLOBAL | Hidup di bawah darurat rakyat Myanmar mempunyai cara untuk menyatakan bantahan mereka ketika negara itu kekal dikuasai junta tentera.
Ketika peluang untuk mengadakan rapat umum hampir mustahil untuk dilaksanakan, penduduk yang tidak rela dengan pelaksanaan darurat itu mempunyai cara yang lebih 'selamat' untuk menyatakan bangkangan.
Mereka memprotes dari dalam kawasan rumah masing-masing.
Menggunakan peralatan sangat sederhana, mereka mengetuk periuk masing-masing untuk membuat bising ketika pemimpin de facto negara itu sebelum ini, Aung San Suu Kyi terus berada dalam tahanan.
Kebanyakan mereka melakukan protes tersebut dari dalam rumah. Puncanya, mereka berjaga-jaga agar tidak ditahan oleh tentera seperti pemimpin lain.
Menurut agensi berita Kyodo News kira-kira jam 8 malam, orang awam mula menjengah melalui tingkap rumah masing-masing dengan di tangan membawa periuk dan senduk.
Mereka kemudian mula memukul periuk untuk menghasilkan bunyi bising.
Protes secara tersirat itu mula menjadi tular sehari selepas junta tentera melakukan rampasan kuasa ke atas kerajaan Myanmar.
Nak tahan hingga 15 Feb
"Memang betul tentera kembali memerintah negara ini tapi saya tak mahu menyerah begitu saja," kata seorang lelaki berusia 43 tahun.
Dia mengetuk periuk itu bersama-sama anggota keluarganya yang lain.
Di sisi lain, penyokong junta tentera mengadakan perarakan di tengah bandar utama negara itu, Yangon, sambil mengutuk parti pimpinan Suu Kyi, Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD).
Untuk rekod NDL adalah parti yang mendapat mandat daripada rakyat Myanmar untuk menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum pada Nov tahun lalu.
Tentera melakukan rampasan kuasa pada 1 Feb lalu ketika ketegangan di antara NLD dan junta terus meningkat.
Insiden itu turut mendapat kecaman daripada pelbagai negara termasuk Putrajaya yang menggesa Naypyidaw mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menyelesaikan sebarang percanggahan pilihan raya melalui peraturan dan dialog secara aman.
Seorang wanita berusia 31 tahun pula berkata kudeta yang berlaku beberapa hari lalu membawa masa depan yang gelap buat dia sekeluarga.
"Tetapi rasanya bukan saya seorang yang berjuang begini," katanya di celah-celah bunyi periuk yang diketuk di kawasan kejiranannya.
Di Mandalay - bandar kedua terbesar selepas Yangon - sekumpulan penunjuk perasaan membawa kain pemidang mengecam rampasan kuasa tentera.
Menurut Reutes ia adalah protes jalanan pertama berlangsung sejak 1 Feb.
Sementara itu Kementerian Penerangan Myanmar mengarahkan syarikat telekomunikasi di negara itu menyekat Facebook sehingga Ahad ini.
Ia dianggap langkah segera junta tentera menghalang NLD berhubung dengan orang awam dan menyampaikan mesej mereka melalui media sosial.
Sebelum ini NLD sudah menyebarkan maklumat melalui Facebook mengajak orang ramai menolak kudeta berkenaan.
Sumber NLD juga memberitahu mahkamah membenarkan polis negara itu menahan Suu Kyi sehingga 15 Feb ini atas tuduhan mengimport dan menggunakan peralatan komunikasi secara haram.
Dokumen yang bocor dan beredar dalam kalangan wartawan pula menunjukkan polis cuba mendapatkan kebenaran menahan reman Suu Kyi selepas pengawal keselamatan persendirian di rumahnya didapati memegang walkie-talkie tanpa lesen.
Insinden itu dikatakan berlaku selepas rampasan kuasa dilakukan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai