Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Darurat: Jangan tohmah keprihatinan Agong, kata PM

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan proklamasi darurat.

Katanya, perkenan itu diberikan itu setelah Agong berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal yang memerlukan pelaksanaan darurat, selaras dengan keputusan jemaah menteri.

Tambahnya, di bawah peruntukan ordinan darurat yang sedang berkuat kuasa, kerajaan boleh mengambil tindakan serta-merta bagi menguruskan wabak Covid-19.

“Seperti yang saya jelaskan secara panjang lebar sebentar tadi, proklamasi darurat yang dimasyhurkan oleh Agong adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik Covid-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

“[...] Proklamasi darurat oleh Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

“Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar proklamasi darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Agong sebagai ketua negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara,” katanya dalam rakaman ucapannya tadi.

Sebelum itu, dalam ucapan sama, Muhyiddin menyenaraikan langkah-langkah yang telah dan sedang diambil kerajaan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, termasuklah hukuman lebih tegas menerusi pindaan undang-undang sedia ada.

Di bawah darurat, kerajaan boleh mencadangkan pindaan undang-undang sedia ada menerusi ordinan yang hanya memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong, tanpa harus diluluskan terlebih dahulu menerusi Parlimen.

Parlimen boleh memansuhkan ordinan apabila ia bersidang nanti.

Agong memperkenan pengisytiharan darurat pada 11 Jan setelah Muhyiddin dan rombongannya menghadap untuk memberikan nasihat berhubung perkara itu pada hari sama.

Darurat dijadual berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos 2021.

Bagaimanapun, tindakan Muhyiddin berdepan kritikan, terutama daripada pembangkang, dan tidak ketinggalan, sekutunya sendiri terutama dari Umno.

Antaranya ketua pembangkang Anwar Ibrahim - selain beberapa pihak lain - yang ke mahkamah bagi mencabar nasihat Muhyiddin kepada Agong untuk menggantung parlimen dalam tempoh darurat.

Daripada Umno pula, ada tokoh yang mengkritik pengisytiharan darurat sebagai usaha Muhyiddin mahu terus berkuasa setelah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.