Air mata mak cik Maznah menitis terima laptop untuk cucu belajar
Pada mulanya mak cik Maznah menangis kerana sedih cucunya tidak berpeluang menyertai kelas dalam talian.
Kini, nenek 64 tahun itu menangis gembira kerana cucunya itu tidak akan ketinggalan pelajaran lagi.
Dalam satu video di Facebook, Maznah dan cucunya yang berumur 16 tahun, dilihat tidak dapat menahan air mata sewaktu menerima sumbangan komputer riba daripada anggota parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.
Usaha Maznah untuk meminta bantuan wakil rakyat agar cucunya dapat bantuan untuk sertai kelas dalam talian mendapat perhatian di media sosial.
Berdasarkan perkongsian pegawai Sim, Rosly Yusof di Facebook, Maznah menangis sewaktu merayu meminta bantuan kerana risau terhadap pembelajaran cucunya.
"Dia tidak minta nasi untuk disuapkan ke mulut cucunya tapi dia mengadu bahawa cucunya tidak dapat belajar atas talian di rumah kerana tidak ada telefon pintar.
"Cucunya seorang pelajar pintar tingkatan 4 belajar di sekolah terbaik di Bukit Mertajam namun apakan daya keadaan tidak memberi peluang untuknya belajar di rumah seperti anak-anak kita," kata Rosly.
‘Sendirian besarkan cucu’
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, suara Maznah kedengaran sebak dan berulang kali menyuarakan rasa syukurnya.
Maznah yang membesarkan cucunya seorang diri berkata sumbangan itu amat bermakna untuk mereka yang hanya bergantung kepada wang zakat RM300 sebulan untuk meneruskan hidup.
"Saya sudah penat menangis setiap malam sebab kesiankan cucu saya yang tak dapat masuk kelas.
“Kami dah tak ada sesiapa. Saya sendiri yang besarkan dia. Mana ada orang lain nak jaga cucu saya? Saya sedih tengok dia tak dapat masuk kelas.
“Kami orang susah. Saya dah tua, mata saya ini pun sakit. Dia nak belajar, tapi saya tak mampu nak belikan untuk dia. Bila dapat bantuan secepat ini, saya memang sangat terharu ada yang dapat membantu kami," katanya.
Maznah turut meminta cucunya berkongsi kegembiraanya kepada Malaysiakini.
Si cucu kedengaran teruja kerana hari ini hari pertamanya menggunakan komputer riba.
"Saya minta cikgu tolong mesej saya setiap pelajaran yang saya tertinggal selepas habis kelas. Mereka faham keadaan saya macam mana.
“Saya memang sangat gembira dapat komputer riba, saya dah boleh masuk kelas lepas ini,” kata cucu tunggal Maznah itu.
Dulu pinjam telefon jiran
Pelajar SMK Machang Bubok itu sebelum ini bergantung kepada telefon pintar ihsan jiran tetangga, namun sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.
Menurut Maznah, skrin telefon yang sudah pecah menyukarkan pelajar itu untuk belajar.
Katanya, sepanjang tahun ini, dia hanya mengharapkan telefon bimbit neneknya untuk berhubung dengan guru.
Mulai hari ini, dia yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor itu tidak akan terlepas sertai kelas dalam talian lagi.
Sementara itu, Sim berkata Maznah memohon bantuan komputer riba setelah mengetahui tentang kempen “Asal Cek Mau Pi Sekolah” yang dilancarkan pada 24 Januari.
Antara inisiatif kempen itu adalah perkhidmatan cetakan kerja rumah, Internet tanpa had, kelas tuisyen dalam talian dan komputer riba yang kesemuanya diberikan secara percuma.
Sehari selepas Maznah datang ke pejabat Steven untuk memohon bantuan, pegawainya datang ke rumah Maznah untuk membuat tinjauan.
“Kami akan buat siasatan supaya pastikan kes yang benar-benar layak. Sebab sumber kami terhad. Tak ada peruntukan MP dah. Jadi memang kena berhati-hati.
“Semalam pegawai saya turun ke rumah dia untuk tinjau keadaan. Kami dapati beliau memang layak menerima laptop percuma,” katanya.
Jangan cicir kerana kemiskinan - Sim
Apabila ditanya mengenai kisah Maznah dan cucunya, dia berasa sayu melihat kehidupan mereka yang tidak berkemampuan namun masih berusaha untuk belajar.
"Mereka terkejut sebab tak sangka boleh dapat. (Mereka) dapat (komputer riba) dalam masa yang singkat. Cucu terus menangis bila nampak komputer riba. Nenek juga sama.
"Saya sebenarnya amat sayu sebab reaksi yang begitu besar. Tapi itulah, dua tiga rumah kami pergi, bila nampak komputer riba, terus air mata mengalir," katanya kepada Malaysiakini.
Sim berharap kempennya itu dapat membantu pelajar di Bukit Mertajam untuk meneruskan pelajaran mereka.
“Saya berharap sumbangan kecil ini membolehkan anak-anak kita belajar dalam keadaan yang lebih selesa. Saya tak minta lebih dari itu. Sekadar mereka boleh mengikuti PdPR seperti pelajar lain.
“Kita tak mahu lihat anak-anak kita tercicir kerana kemiskinan, kerana Covid-19,” tegasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai