Kawalan eksport EU boleh jejas penghantaran vaksin Covid-19 ke Jepun
GLOBAL | Mekanisme baru diperkenalkan Kesatuan Eropah (EU) yang mewajibkan pengeluar mendapatkan kebenaran untuk mengeksport vaksin Covid-19 dikeluarkan di blok tersebut, boleh menyebabkan penghantaran ke Jepun mengalami kelewatan.
"Bekalan di Jepun tidak dapat dijamin (berikutan kawalan itu)," kata Menteri Taro Kono yang bertanggung jawab untuk program vaksinasi, lapor Agensi Berita Sputnik memetik Kyodo News.
Minggu lalu EU memperkenalkan skim terbaru kebenaran eksport untuk mengatasi isu pertikaian dengan AstraZeneca.
Syarikat gergasi farmasi United Kingdom-Sweden itu dijangka gagal menghantar vaksinnya ke blok tersebut sebanyak 60 peratus pada suku pertama 2021 kerana masalah pengeluaran di kilangnya di Belgium dan Belanda.
Mengulas kemungkinan kelewatan itu, Kono berkata Jepun menjangkakan menerima semua dos yang dipersetujui mengikut jadual.
"Kami ingin meminta jumlah yang telah dipersetujui dalam kontrak dieksport segera,” kata menteri itu pada sidang media, Selasa.
Jepun dijadual melancarkan program imunisasi Covid-19 besar-besaran pada Februari, bermula dengan pekerja kesihatan. Keseluruhannya, Jepun mempunyai lebih 500 juta tempahan dos vaksin daripada beberapa pengeluar Barat.
Kerajaan Jepun pada Selasa dijangka melanjutkan tempoh darurat Covid-19 di Tokyo dan beberapa kawasan panas lain selama sebulan sehingga 7 Mac.
Lebih 389,000 kes Covid-19 dilaporkan di Jepun sejak ia menular. Negara ini mengalami lonjakan kes baru pada awal Januari, mendorong kerajaan mengambil langkah-langkah penjarakan sosial lebih ketat.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai