Warga Myanmar bantah rampasan kuasa, Biden mahu timbang semula sekatan
GLOBAL | Pemimpin Barat mengecam rampasan kuasa tentera Myanmar ke atas kerajaan yang dipilih secara demokratik semalam, manakala ratusan ribu penyokong Aung San Suu Kyi menyuarakan kemarahan mereka di media sosial.
Awal pagi semalam, tentera Myanmar menyerahkan kuasa kepada ketua tentera Min Aung Hlaing dan mengisytiharkan darurat selama setahun, dan berkata ia bertindak ke atas apa yang disifatkan sebagai penipuan pilihan raya.
Perkembangan mengejut itu menggagalkan usaha bertahun-tahun untuk mewujudkan demokrasi di Myanmar yang dilanda kemiskinan.
Kejadian di negara yang juga dikenali sebagai Burma itu menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai prospek sejuta pelarian Rohingya dapat pulang ke negara itu.
Menurut para diplomat Majlis Keselamatan PBB akan bermesyuarat hari ini, di saat seruan agar respons lebih tegas diberikan berhubung penahanan Suu Kyi dan sejumlah lagi sekutu politiknya.
Bagaimanapun hubungan rapat Myanmar dengan ahli Majlis Keselamatan, iaitu China akan memainkan peranan dalam mesyuarat tersebut.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyifatkan pengisytiharan darurat di Myanmar adalah serangan secara langsung terhadap peralihan negara itu ke arah demokrasi dan kedaulatan undang-undang
"Amerika sebelum ini mengeluarkan Myanmar dari senarai sekatan selepas ia memulakan peralihan ke arah demokrasi.
"Namun perkembangan semasa akan memerlukan penilaian semula berkenaan autoriti dan undang-undang sekatan kita dan disusuli tindakan sewajarnya," kata Biden dalam kenyataan.
Min Aung Hlaing, yang sudah hampir bersara, menjanjikan pilihan raya yang bebas dan adil dan penyerahan kuasa kepada parti yang menang. Dia tidak menyatakan tempoh masa untuk perkara itu.
Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), yang dipimpin Suu Kyi menang 83 peratus dalam pilihan raya 8 November lalu. Dia menyeru orang ramai membantah rampasan kuasa tersebut.
Bagaimanapun, jalan-jalan menjadi sepi setelah tentera dan polis antirusuhan berkawal di ibu kota Naypyitaw, dan pusat komersial utama Yangon. Sambungan telefon dan internet juga dijejaskan.
Ramai warga Myanmar menyuarakan kemarahan mereka di media sosial.
Data di Facebook menunjukkan lebih 334,000 orang telah menggunakan tanda pagar #SaveMyanmar yang menunjukkan penentangan terhadap rampasan kuasa, dan ada yang menukar gambar profil menjadi hitam untuk menunjukkan kekecewaan atau warna merah sebagai tanda sokongan kepada NLD, beserta potret Suu Kyi, pemenang hadiah Nobel Keamanaan pada 1991.
"Kami sebagai warganegara Myanmar tidak setuju dengan langkah semasa dan ingin meminta pemimpin dunia, PBB dan media antarabangsa menolong negara kami - pemimpin dan rakyat kami - daripada tindakan ini," kata satu pesan yang dikongsikan secara meluas.
Suu Kyi, Presiden Win Myint dan pemimpin NLD lain "ditangkap" awal pagi semalam, menurut jurucakap parti Myo Nyunt kepada Reuters.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB Michelle Bachelet berkata sekurang-kurangnya 45 individu telah ditahan.
Kecaman yang diketuai PBB terhadap rampasan kuasa dan gesaan agar tahanan dibebaskan dan demokrasi dikembalikan turut disokong Kesatuan Eropah, Australia, India, Jepun dan Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Britain Boris Johnson - sebuah negara yang dahulunya menjajah Burma - menggesa pembebasakn Suu Kyi dan pemimpin lain. "Undi rakyat perlu dihormati dan pemimpin dibebaskan," katanya.
Bagi mengukuhkan rampasan kuasa, juta tentera menyingkirkan 24 menteri dan melantik 11 nama baru, antaranya untuk kementerian kewangan, pertahanan, luar negara dan dalam negeri.
Pihak bank berkata mereka akan kembali beroperasi pada Selasa selepas tutup pada Isnin, di tengah-tengah ramai orang ingin mengeluarkan wang mereka.
Penduduk Yangon juga bersesak mendapatkan bekalan makanan.
Syarikat pasar raya luar seperti Aeon (Jepun), Posco International (Korea Selatan) dan Telenor (Norway) cuba menghubungi kakitangan mereka di Myanmar dan menilai kemelut yang berlaku.
Suu Kyi menang selepas 15 tahun menjalani tahanan dalam rumah, antara 1989 hingga 2010, dan pergelutan panjang melawan tentera, yang merampas kuasa pada 1962 dan menekan setiap suara penentangan sehinggalah kemenangan NLD pada 2015.
Imej Suu Kyi sebagai ikon hak asasi manusia terjejas teruk di peringkat antarabangsa setelah gagal menghalang pengusiran ribuan etnik Rohingya pada 2017 dan mempertahankan tentera yang dituduh melakukan pembersihan etnik.
Tetapi dia kekal popular di Myanmar dan dihormati sebagai anak kepada pejuang kemerdekaan, Aung San.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai